Khamis, 28 Mei 2009

PELAJAR UMS PRAKTIKUM DI SPAN

Gambar : Cik Fazlinahwati Mumin ( Atas ) Cik Norazean Rasit ( Bawah )






KOTA KINABALU: Dua pelajar jurusan Ekonomi, Perancangan dan Pembangunan dari Universiti Malaysia Sabah ( UMS ) di sini telah ditempatkan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri untuk Latihan Praktikum sebagai syarat memperolehi Ijazah Muda Ekonomi dengan kepujian di universiti ini

Cik Fazlinawati Abdul Mumin dan Cik Norazean Bt Rasit, anak kelahiran Sabah menjalani latihan Praktikum selama 3 bulan bermula pada 18 Mei lepas dan akan mengakhiri latihan mereka pada 08 Ogos 2009

Mereka berdua dijangka akan menghadiri konvokesyen Universiti Malaysia Sabah pada 11 Oktober 2009 sebagai mercu tanda kejayaan mereka memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Selamat menjalankan latihan praktikum yang merupakan pendedahan awal sebelum mengharungi kehidupan sebenar sebagai anggota masyarakat yang bertanggugjawab sedikit masa lagi.

Selasa, 26 Mei 2009

ISLAM MENYATUKAN MANUSIA

Gambar atas: Pemandangan hampir waktu maghrib


Gambar tengah:Kaabah menyatukan seluruh manusia dari timur,barat,utara dan selatan

Gambar bawah: Pemandangan selepas waktu Subuh



RENUNGAN HARI JUMAAT



Sekitar 1400 tahun dahulu Islam pernah muncul sebagai satu kuasa besar dunia apabila Rom dan Farsi, dua kuasa besar ketika itu telah tunduk kepada empayar Islam dengan kekuatan kalimah tauhid yakni keyakinan hanya kepada Allah SWT satu-satunya Tuhan semesta Alam,

Dua kuasa besar yang mengelilingi Arab itu, tidak berminat menguasainya kerana tanahnya tidak subur dan penghuninya kaum nomad dan berpuak-puak. Kerana sibuk berperang dan keegohan dua kuasa besar ini menyebabkan mereka terlepas pandang hingga tidak menyedari perubahan politik di kawasan tanah yang tidak subur ini yang akhirnya menamatkan penguasaan mereka sebagai kuasa besar dunia ketika itu

Kaum nomad dan berpuak-puak ini lebih di kenali sebagai masyarakat jahiliah juga tidak terlepas daripada sifat ego dan mereka sentiasa bermusuhan meskipun hanya kerana masalah kecil seperti ternakan memakan rumput di kawasan puak lain maka ternakan tersebut di bunuh dan pemilik ternakan ini akan membalas dendam dengan membunuh orang yang bertanggngjawab membunuh ternakanya dan berterusan dendam bunuh-membunuh sehingga turun temurun, dan mereka pula berbangga minum arak dalam tengkorak kepala musuh mereka yang dijadikan sebagai gelas. Sekiranya berjudi bukan sahaja harta jadi taruhan malah nyawa akan jadi sandaran, wanita hamil bila-bila masa boleh di jadikan pertaruhan untuk meneka jantina dalam perutnya, mereka akan membedah perut wanita ini bagi menentukan jantina anak dalam perut wanita itu bagi memastikan siapa pemenang dalam pertaruhan ini

Anak-anak perempuan yang baru lahir akan ditanam hidup-hidup di padang pasir kerana mereka percaya anak perempuan akan membawa sial, kehinaan dan menjejaskan maruah ibu bapa.

Sekiranya satu keluarga ingin mendapat keturunan panglima atau keturunan bangsawan maka anak perempuan mereka akan dihantar kepada penglima atau orang bangsawan untuk ditiduri sehingga hamil dan anak yang dilahirkan oleh wanita ini bolehlah dianggap sebagai anak pahlawan atau bangsawan.

Sekiranya seorang ayah meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri maka anak lelakinya boleh memiliki isteri ayahnya itu yakni ibu tirinya

Dalam suasana kehidupan yang tidak berperaturan inilah, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad Rasulullah SAW untuk membetulkan cara hidup manusia khususnya masyarakat Jahiliah ini.

Muhammad Rasulullah SAW telah memancarkan sinar Islam yang berjaya menyatukan pelbagai puak dan bangsa, mengharamkan pembunuhan anak perempuan, mengharamkan perjudian, mengharamkan arak, mengharamkan zina, menjadikan manusia sama tarafnya baik lelaki maupun wanita, hamba atau bangsawan, rakyat biasa atau pemerintah, tidak mengira bangsa dan keturunan, yang membezakan antara mereka hanyalah iman dan takwa masing-masing kepada Allah SWT

selama 23 tahun Nabi Muhammad Rasulullah SAW berusaha menerapkan iman dan Islam kepada orang-orang Mekah dan Madinah serta sekitarnya yang akhirnya beliau telah berjaya menyediakan puluhan ribu orang yang terlatih dari pelbagai suku bangsa dari timur, barat, utara dan selatan untuk meneruskan kerja-kerja dakwah beliau di muka bumi ini ketika itu

Atas prinsip dan dasar yang sama, orang-orang yang terlatih ini yang dikenali sebagai Sahabat Nabi SAW, secara berterusan menyambung kerja-kerja Nabi SAW yakni mengajak manusia berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang mungkar ( buruk dan keji ) serta mereka sendiri pula beriman kepada Allah SWT

Kehadiran agama Islam ini telah berjaya merubah seratus peratus cara hidup masyarakat jahiliah yang tidak berperatuan ini menjadi satu masyarakat bertamaddun yang dikenali sebagai umat Islam






Khamis, 21 Mei 2009

KELAS AL QURAN SPAN DAPAT SAMBUTAN




Gambar atas: Encik Jumatin Dukani, Setiausaha BKI Span
Gambar tengah dan bawah: Pegawai-pegawai SPAN sedang tekun belajar mengaji


Kota Kinabalu: Kelas Pengajian Al Quran yang genap setahun beroperasi di bilik Mesyuarat Mawar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Tingkat 4 Blok B Wisma MUIS, menunjukkan kesedaran betapa pentingnya Al Quran dalam kehidupan anggota perkidmatan awam negeri memang tinggi. Ini terbukti dengan penglibatan sejumlah besar pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah

Pengajian ini yang diusahakan oleh Badan Kebajikan Islam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri telah mendapat khidmat bakti Al Hafiz Tn Ustaz Mohd Akmal Othman sebagai tenaga pengajar, adalah seorang Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah ( JHEAINS )

Kelas yang bermula pada April tahun 2008 ini dengan hanya empat orang pelajar pada mulanya, kini dihadiri oleh kira-kira empat hingga tiga belas orang anggota perkhidmatan awam, setiap Isnin hingga Khamis pada waktu rehat tengah hari

Diawal pengajian ada ketikanya para pelajar panas sejuk bila ditegur sebutan bacaan mereka oleh Al hafiz Tuan Ustaz Mohd Akmal Othman, yang dengan cekap mengesan setiap kesalahan bacaan anak muridnya yang rata-rata hampir dan sudah setengah abad usia mereka.

Kelas tersebut tidak sentiasa serius kerana kadang-kadang riuh rendah juga dengan ketawa sesama mereka bila ditegur kesalahan bacaan masing-masing namun kini mereka kelihatan sudah jauh lebih baik dan lancar berbanding setahun lepas.

Menurut Setiausaha Badan Kebajikan Islam, Encik Jumatin Dukani, kelas ini adalah aktiviti berterusan dan jangka panjang untuk pegawai-pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri dan anggotan perkhidmatan awam yang berminat.

" Kami berhutang budi kepada Ustaz Mohd Akmal, tidak mungkin dapat di balas kebaikanya kerana sudi dengan rela hati untuk memdidik dan membimbing kami dalam Al Quran, Allah jualah yang dapat membalas budibaiknya." Katanya

" Mereka yang terlibat dalam pengajian ini memang beruntung kerana bukan sahaja dibimbing oleh tenaga pengajar yang berpengelaman dan berilmu tinggi malah mendapatkanya begitu mudah dan selesa kerana kelas pengajian ini di adakan di tempat bekerja setiap hari." Jelasnya mengakhiri perbualan.

Selasa, 19 Mei 2009

SYUKUR ALHAMDULILLAH...

Puan Dg Sarbanun

Puan Khatijah Kassim







Puan Rainah Lajis




KOTA KINABALU: Tahun 1430 Hijrah bersamaan 2009 Masihi, merupakan tahun yang akan dikenang sampai bila-bila oleh tiga pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, kerana tahun ini telah menjadi saksi perubahan penampilan Puan Rainah Bte Lajis, Puan Khatijah Bte Kasim dan Puan Dg Sarbanun Hj Mohd Yusof.

Ketika ditemui, Puan Rainah bersyukur kepada Allah SWT kerana telah membuka pintu hatinya untuk mengunjungi Baitullah di Mekah dan Masjid Nabi SAW di Madinah bulan lepas, tempat ibadah yang menjadi impian setiap ummat islam untuk dikunjungi sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. " Saya berazam untuk berkunjung semula di bulan haji akan datang", katanya lagi.

Puan Dg Sarbanun yang baru balik dari tanah suci juga bersyukur kepada Allah SWT kerana mengizinkannya berkunjung ke Baitullah dan Masjid Nabi SAW minggu lepas. Menurut beliau, sebaik saja menjejakkan kaki di Masjidil Haram air matanya bercucuran tanda syukur.
" Sukar untuk di cerita dan dibayangkan betapa nikmatnya beribadah di Baitullah dan di Masjid Nabi SAW". Tambahnya.

Puan Khatijah pula yang suka tudung berwarna 'pink', bersyukur kerana Allah SWT membuka hatinya untuk selesa berwajah baru sebaik sahaja selepas menyambut Maulidur Rasul Mac lepas.

Mereka bertiga sependapat bahawa dalam kehidupan yang sementara ini perlu ada keberanian untuk berubah ke arah lebih baik dan diredhai Allah SWT sekalipun terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkanya.

Ahad, 17 Mei 2009

PERJALANAN YG PENUH DEBAR DAN HILAI TAWA!





























































































KOTA KINABALU: Sejauh kira-kira 1,400 kilometer merentas barat ke timur seterusnya ke selatan dan berakhir di Kota Kinabalu sebelah barat Sabah, sememangnya suatu perjalanan yang mendebarkan dan memenatkan bagi lapan ahli Kelab Sukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah ( SPANS ) bersama enam belas keluarga masing-masing

Perjalanan yang memakan masa 16 jam untuk tiba di bandar Tawau itu benar-benar menjadikan ahli rombongan bersemangat, cekal, sabar dan tabah. Mereka silih berganti bercerita lucu menyebabkan suasana riuh rendah dengan hilai tawa yang tidak putus-putus memenuhi ruang dan menyebabkan perjalanan yang memakan masa begitu lama terasa tidak membosankan.

Rombongan yg berhimpun di Wisma MUIS Kota Kinabalu, dan bertolak pada jam 5.30 petang 30 April 2009 dengan menaiki satu unit bas ( coaster ) dan van, berhenti rehat di Masjid Besar Ranau. Selepas Solat Isyak dan Magrib mereka bersama-sama menikmati hidangan makan malam yang disediakan lebih awal oleh keluarga masing-masing, kemudian meneruskan perjalanan dan berhenti rehat dan solat subuh di Masjid Besar Daerah Lahad Datu.


Selepas solat jumaat di masjid Raya Tawau, ahli rombongan ke pasar besar Tawau dan gerai pakaian terpakai yang memang terkenal dengan tawaran harga munasabah dan berkualiti mencari sesuatu untuk dibeli sebagai buah tangan untuk dibawa balik ke Kota Kinabalu. Pada sebelah malam ahli rombongan telah dijemput makan malam di rumah Pegawai kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri( SPAN ), Puan Hjh Latifah Datuk Abu Bakar Titingan

Ke esokan harinya sekitar jam 9 pagi rombongan kami meneruskan perjalanan ke Taman Bukit Tawau, suatu tempat yang tidak asing kepada pencinta alam semula jadi di Sabah khususnya Tawau. Taman ini sangat sesuai sebagai tempat untuk berekreasi bersama keluarga

Pada sebelah petang sekitar jam 2.30, Pegawai-pegawai dan belia-belia Tawau menyambut ketibaan kami di Kompleks Sukan Tawau dan seterusnya kami diberi taklimat mengenai peranan belia dalam berpersatuan dan dalam pembentukan negara, oleh En Jamil Jilap, Pegawai Kementerian Beliau dan Sukan Daerah Tawau

Selepas taklimat tersebut satu perlawanan persahabatan futsal antara rombongan dengan belia-belia di bawah didikan Kementerian Belia dan Sukan cawangan Tawau.

Selesai acara futsal tersebut, dengan persetujuan ahli rombongan kami meneruskan perjalanan ke Sandakan untuk bermalam di sana agar masa dan jarak pulang ke Kota Kinabalu tidak lagi terasa lama dan jauh dan pemandu boleh berehat secukupnya kerana semasa perjalanan dari kota kinabalu ke Tawau dua hari sebelumnya pemandu terpaksa di beri minuman sehingga 5 peket tongkat ali agar sentiasa segar dalam perjalanan.

Seawal jam 9 pagi ahli rombongan telah keluar dari bilik hotel masing-masing untuk melihat suasana menarik di pasar minggu Sandakan yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan kami sebelum ke pusat pemuliharaan Orang Utan Sepilok yang merupakan pusat tumpuan pelancong dari seluruh dunia bagi melihat pelbagai aksi yang di pamerkan oleh haiwan terancam itu.

Makhluk ciptaan Allah ini memang menarik perhatian para pengunjung kerana terbukti bahawa jika dilatih haiwan ini mampu menjadi makhluk yang berdisiplin. Orang utan di pusat pemuliharaan Sepilok ini akan berkumpul di pelantar makanan yang disediakan setiap hari oleh petugas Jabatan hidupan liar Sabah mengikut masa yang telah di tetapkan oleh petugas walhal orang utan ini boleh menghilangkan diri dalam hutan tebal bila-bila masa sahaja.

Sebelum bertolak pulang ke kota kinabalu rombongan kami telah dijamu makan tengahari oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan, En Jefri Abdul Ahmad di rumah beliau di Taman Rimba Sandakan

Sebaik tiba di Kota Kinabalu sekitar 09.30 malam pada 03 Mei 2009, sebagai ketua rombongan saya bersyukur kehadirat Allah swt kerana rombongan telah selamat pergi dan balik tanpa ada apa-apa kesulitan dan musibah. Saya yakin lawatan ke Tawau telah berjaya dan mencapai matlamat khususya anak-anak ahli yang pasti sedikit sebanyak telah mendapat pengetahuan dan pengalaman yang sangat berguna sebagai bekalan dalam mengharungi kehidupan mereka yang penuh ranjau dan liku hidup di masa depan.

Dan lebih penting lawatan tersebut sekurang-kurang telah berjaya menyuntik semangat dan idea baru disamping memberi kesegaran minda ahli kelab yang terlibat sebelum memulakan tugas harian sebagai anggota perkhidmatan awam di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah,di tingkat 3 dan 4 wisma Muis Kota Kinabalu.

Lawatan tersebut yang bertujuan untuk menimba pengetahuan dan pengalaman baru disamping berharap dapat mengiratkan lagi hubungan persaudaraan sesama ahli khususnya dan pegawai-pegawai kementerian Belia dan Sukan Tawau khasnya

Pada kesempatan ini, saya merakamkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Daerah Tawau kerana menjadi tuan rumah kepada lawatan rombongan kami.

Terima kasih juga kepada Taman Taman Sabah yang sudi memberi peluang kepada rombongan kami masuk melawat Taman Bukit Tawau secara percuma

Juga terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan & Ternak dan Jabatan Kerja Raya yang baik hati menyediakan masing-masing satu unit bas dan Van untuk menjayakan lawatan tersebut

Terima kasih juga kepada Pn Hjh Latifah Datuk Abu Bakar Titingan dan adinda Jefri Abdul Ahmad kerana menyediakan jamuan makan malam dan tengahari kepada rombongan kami. Allah jualah yang berupaya membalas kebaikan kalian semua di dunia dan akhirat.

Kepada pihak berkuasa tempatan di Tawau dan Sandakan saya berharap setiap hotel di daerah tersebut sentiasa di pantau supaya dapat memberi perkhidmatan yang selesa kepada pelanggan kerana terdapat hotel yang menyediakan bilik yang kurang selesa seperti pendingin hawa rosak, bilik berbau dan lipas berkeliaran.

Sekiranya perkara sedemikian berlaku kepada pelancong luar negara dikuatiri boleh menghambat kehadiran mereka di masa akan datang yang tentunya merugikan kerana kehadiran mereka dapat meningkatkan lagi pendapatan negara kita.