Isnin, 21 September 2009

Hari Raya

Ucapan Selamat Menyambut Hari Raya

Aidil Fitri 1430H/2009M

Selamat Hari Raya kepada pembaca yang sentiasa setia melayari blog ini, rakan-rakan, sanak saudara dan semua umat Islam di mana jua anda berada

Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua dan tetap serta teguh selalu beriman kepada Allah SWT di hari-hari mendatang

Maaf zahir dan Batin

Daripada saya anakusman dan keluarga

Rumah terbuka Hari Raya Ketua Menteri & Kabinet Sabah

Seketika bersama Ketua Menteri

Adik Siti Fatimah disambut YAB Datuk Musa Haji Aman^


















^ Cik Siti Sakinah dan Abdurrahman bersama YAB Datuk Musa Haji Aman

KOTA KINABALU: Pada awal tahun 1970an, saya adalah antara puluhan pelajar sekolah Rendah Kg Suan Lamba kira kira 2 jam perjalanan menaiki bot ( kapal ) dari bandar Sandakan, berbaris di tepi padang menyambut ketibaan Ketua Menteri ketika itu , Allahyarham ( Tun ) Datu Mustapha Bin Datu Harun dan beberapa kabinet negeri Sabah yang datang melawat kampung kami selama sehari menaiki helikopter Nuri milik angkatan tentera Malaysia.

Ribuan masyarakat kampung dan sekitarnya turut sama berpusu-pusu menyambut kedatangan rombongan Ketua Menteri ini .



<
Norhidayah( Mendukung anak ) dan adik-adik bergambar sebagai kenangan bersama YB Datuk Masidi Manjun

Pembesar kampung kami , Allahyarham Datuk Pengiran Digadong Mohd Galpam Bin Pengiran Indar dan Allahyarham Datuk Pengiran Ahmad Bin Pengiran Indar ketika itu merupakan wakil rakyat Kinabatangan dan Sekong adalah antara yang turut mengalu-alukan ketibaan rombongan tersebut

Saya hanya sekadar memerhati dan melihat dari jauh rombongan kerana yang boleh menghampiri dan berjabat tangan dengan Ketua Menteri dan rombongan adalah pembesar-pembesar negeri, ADUN, KAN, ketua kampung, ketua-ketua parti politik dan orang-orang dewasa. Orang macam saya ketika itu yang baru berusia belum pun mencapai 12 tahun, mana mungkin boleh menghampiri apatah lagi berjabat tangan dengan pembesar negeri. Masih segar dalam ingatan saya peristiwa itu! Itu pun sudah cukup untuk saya gembira dapat melihat dari jauh dan saya bangga kerana adalah antara orang yang hadir menyambut ketibaan rombongan pembesar negeri ke kampung kami. Hari itu saya memang sangat gembira dan seronok .

<: YAB Datuk Musa bersama Mohd Zaid dan Abdurrahman


Pendek kata kampung kami ketika itu tujuh hari sebelum dan selepasnya meriah sekali , penuh sesak dengan kehadiran rakyat jelata dan orang politik dari bandar dan kampung-kampung dalam bahagian parlimen kinabatangan.

40 tahun kemudian, yakni pada 20 September 2009 bersamaan 01 Syawal 1430H pembesar negeri di ketuai oleh Ketua Menteri , YAB Datuk Seri Hj Musa Haji Aman, seorang anak didik politik Allahyarham Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun , mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya Ketua Menteri dan Kabinet Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Komplek Sukan Likas .


< YB Datuk Masidi Manjun memegang erat bahu Mohd Zaid,pelajar SMK Dato Paduka Mat Salleh Ranau



Ribuan masyarakat berbilang suku bangsa dan agama, tua, muda, lelaki, wanita dan kanak-kanak dari segenap pelusuk negeri datang mengunjungi majlis tersebut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Ketua Menteri dan ahli kabinet negeri .

Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Dayang Masuyah Binti Awang Japar adalah antara yang hadir.

Saya sangat terharu melihat Ketua Menteri dan ahli Kabinet negeri Sabah yang sangat mesra rakyat. Setahu saya peristiwa seperti ini tidak pernah berlaku di sini sejak puluhan tahun lepas. Datuk Haji Masidi Bin Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar Negeri Sabah, umpamanya sanggup meninggalkan hidangan makanan serta orang kenamaan yang duduk semeja dengan beliau semata-mata ingin memenuhi permintaan untuk bergambar dengan anak-anak saya , orang awam biasa yang sangat gembira dapat menemuinya .

V: Gambar kenangan YAB Datuk Musa Haji Aman bersama Nurtaqqiyyah Iffah dan
ibunya Norhidayah, kakitangan Jabatan Cetak Kerajaan, Kota Kinabalu

Sekiranya pemimpin-peminpin Barisan Nasional ( BN) di seluruh negara mempunyai sifat mesra rakyat seperti ketua Menteri Sabah YAB Datuk Haji Musa Haji Aman, YB Datuk Masidi Manjun ,YB Dato Hajah Azizah Datuk Mohd Dun dan menteri-menteri kabinet yang lain , saya yakin Barisan Nasional ( BN) agak sukar digugat dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Nampaknya slogan 1MALAYSIA , RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN yang di perkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadi senjata ampuh Barisan Nasional ( BN ) melumpuhkan kekuatan parti-parti politik yang menentang Barisan Nasional khususnya di Pilihanraya Umum Malaysia yang akan datang.

Khamis, 10 September 2009

TAZKIRAH


JANGAN LEPASKAN
LAILATUL-QADAR !



TANJUNG ARU, KOTA KINABALU: Hari ini genap 20 hari umat Islam Malaysia berpuasa. Selewat-lewatnya Hari Raya Aidil–Fitri akan disambut pada ahad depan.

Sepuluh malam terakhir ramadhan merupakan malam yang dinanti-nantikan umat Islam kerana terdapatnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan yang lain seperti mana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Qadr yang mahfumnya:

“1. Sesungguhnya kami telah menurunkan ( Al-Qur’an ) ini pada malam Lailatul-Qadar, (01) 2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? 3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (02) 4.Pada malam itu,turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);5. Sejahteralah Malam ( yang berkat ) itu hingga terbit fajar!

Anas r.a. berkata,”...Rasulullah s.a.w. bersabda: dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi.”

Aishah r.anha berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Carilah Lailatul-Qadar pada bilangan hari yang ganjil dari sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan.”

Ibnu Abbas r.anhuma berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda tentang orang yang beri’tikaf bahawa dia terpelihara daripada dosa-dosa, sedangkan dia akan diberi ganjaran amal-amal kebaikan seperti orang yang melakukan kesemua kebaikan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “ Sesiapa yang berdiri beribadat pada malam lailatul-Qadar dengan iman dan ihtisab ( berniat untuk mendapatkan ganjaran ) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

Dalam kesempatan ini marilah kita ajak mengajak keluarga, rakan-rakan dan umat Islam yang lain untuk sama-sama merebut peluang yang datang hanya setahun sekali.

Beribadat di masjid pada sepuluh malam akhir ramadhan dengan niat I’tikaf adalah lebih baik berbanding beribadat di rumah kerana masjid memiliki suasana ibadat tanpa ada sedikit pun perkara-perkara yang boleh menggangu dan mengalihkan perhatian kita kearah selain daripada mengingati Allah s.w.t.

Mudah-mudahan kita adalah antara insan yang diberi rahmat oleh Allah s.w.t. untuk mendapatkan lailatul-Qadar pada tahun ini.

Selamat beri’tikaf di masjid seperti mana Rasulullah s.a.w. lakukan pada 10 hari terakhir ramadhan.
___________

( 01 ) “Lailatul-Qadar “ – ialah Malam Kemulian dan Kebesaran

(02) - Yakni amal ibadat yg dikerjakan pada Malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain. Oleh sebab itu ada disebutkan di dalam hadith sahih bahawa Rasulullah ( s.a.w.) biasanya mulai dari malam 21 Ramadhan, Baginda membanyakkan ibadat sepanjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan Malam Lailatul-Qadar yang berkat itu yang berlaku pada salah satu malam dari sepuluh atau Sembilan malam yang akhir dari bulan Ramadhan ( Dipetik dari Tafsir Pimpinan Ar-Rahman )

Ahad, 6 September 2009

UCAPAN DAN PENGHARGAAN


KG GILING LAUT, TUARAN: Encik Pudin Bin Eaiti ( Gambar ) merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah ( SPANS ), kakitangan Queen Elizabert Hospital Kota Kinabalu , petugas masjid negeri dan masyarakat kampong Giling Laut atas segala sumbangan, bantuan dan sokongan disaat menghadapi musibah kerana ayah beliau , Eaiti Bin Tuo, telah meninggal dunia pada pagi 01 September 2009

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Ybhg Datuk Ismail Ag Besar, Pengerusi SPANS, Datuk Moktar Rapok dan Badan kebajikan Queen Elizaberth Hospital di atas segala bantuan dan sumbangan mereka hingga selesainya upacara pengkebumian allahyarham ayah beliau.

“ Sesungguhya bantuan dan sokongan anda semua sangat dihargai dan saya berdoa semoga Allah akan membalas kebaikan kepada anda sekalian diatas setiap bantuan yang diberi “. jelas beliau yang kelihatan masih sedih kerana pemergian Allahyarham ayah beliau yang dikasihi.

Encik Pudin yang masih bercuti memberitahu , selain di kampong beliau juga akan mengadakan kenduri arwah di pejabat SPANS selepas semuanya kembali tenang .

Jenazah allahyarham ayah beliau telah dikebumikan selepas asar pada hari yang sama di tanah perkuburan Islam di Kg Giling Laut kira-kira 15 minit perjalanan melalui sampan berinjin sangkut

Allahyarham berusia 76 tahun dimasukan ke hospital Queen seminggu sebelum meninggal dunia selepas mengadu sakit dada. Alfatihah..!