Ahad, 30 Oktober 2011

WARKAH DARI TANAH SUCI

MAKKAH: Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Bertakwa  kepada Allah dan akhlak yang mulia adalah amalan yang paling banyak menyebabkan manusia masuk ke dalam syurga dan  kerana mulut dan kemaluan perkara yang paling banyak menyebabkan manusia masuk  ke dalam neraka (Riwayat Ahmad)

Daripada Abu Umamah r.a bahawa Rasulullah bersabda: “Aku menjamin sebuah rumah di dalam syurga yang paling bawah bagi orang yang meninggalkan pertengkaran walaupun dia berada dipihak yang benar, dan aku menjamin sebuah rumah di syurga yang tengah bagi orang yang meninggalkan penipuan walaupun dia hanya bergurau, dan aku menjamin sebuah rumah di dalam syurga yang paling tinggi bagi orang yang berakhlak mulia( Riwayat Abu Daud)

Daripada Aisyah r.ha bahawa Rasulullah bersabda:”Sesungguhnya seorang mukmin dapat mencapai kedudukan orang yang berpuasa dan bangun malam(dengan bersolat) dengan akhlak yang baik( Riwayat Abu Daud)

Daripada Jabir ra. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat kedudukannya disisiku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya, dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan jauh kedudukannya daripadaku pada hari kiamat ialah orang yang berlebih-lebihan serta sombong di dalam percakapannya(Riwayat at-Tirmizi)

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abdullah ibn Amru ibn al’Ass bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang yang terbaik dikalangan kamu ialah yang paling baik akhlaknya”

Daripada Abdullah ibn ‘Amru bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Orang yang bersifat penyayang akan disayangi oleh Allah yang Maha Penyayang.Rahmatilah ( makhluk) yang berada di muka bumi necaya kamu akan dirahmati oleh ( Allah) yang berada di langit (Riwayat Abu Daud) dan sesiapa yang tidak menyayangi manusia maka dia tidak akan disayangi oleh Allah(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan oleh Sa’ad ibn Abi Waqqas,Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam telah bersabda: Sesungguhnya Allah menyukai akhlak yang mulia dan membenci akhlak yang rendah.

Nabi sallallahu ‘ alaihi wasallam telah bersabda:” Sesungguhnya aku diutuskan semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang baik(Riwayat bukhari)


Imam Abdullah ibn Mubarak telah memberi pengertiannya tentang akhlak yang baik kepada kita dengan berkata “ Ia adalah wajah yang manis, membuat kebaikan dan menghalangi kejahatan.”

Rabu, 14 September 2011

JAPIAL EWON MEMELUK ISLAM

KOTA KINABALU(12 Sept 2011): En Japial Bin Ewon, 51 tahun (Bersongkok) telah memeluk agama islam, Isnin lepas dihadapan tuan ustaz Kelana Lias( Kiri ), Pegawai Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah(JHEAINS), disaksikan oleh Encik Sham Hari Dahlan, di tingkat 9 Blok A, Wisma Muis

Menurut beliau, Islam tidak asing padanya kerana nenek dan anak buahnya beragama Islam. Beliau memang berhasrat memeluk Islam sebelum Ramadan lagi agar dapat berpuasa dan Berhari Raya sebagai orang Islam namun hasrat tersebut baru kini tercapai atas bantuan beberapa kawan rapat

Beliau yang berkhidmat di Sabah Electricity Sdn. Bhd,

Tanjung Aru Kota Kinabalu, menggunakan nama islam sebagai Nazri Ewon Abdullah, dengan lancar menjawab salam ketika dihubungi melalui telefon pagi tadi. Kini beliau mula belajar mendalami agama Islam

Jumaat, 15 Julai 2011

JALAN-JALAN DI NEGERI BAWAH BAYU



Kota
Kinabalu,Sabah Malaysia:
Negeri di bawah bayu kaya dengan

pelbagai makanan laut yang jarang-jarang terdapat di tempat lain.

Ikan, Timun laut (sea cucumber) dan lobster segar enak sekali bila dimakan pelbagai rasa. Datanglah beramai-ramai menikmati seafood segar sambil bersiar-siar menghirup udara nyaman di kepulauan,gunung ganang dan hutan belantara.


Khamis, 12 Mei 2011

Malaysia negara Islam proaktif..

Malaysia Negara Islam Proaktif dlm Dakwah

Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling,08 Mei 2011: Sebanyak 163 Jamaah

Dakwah telah bergerak di dalam dan luar negara sejak tiga bulan lepas. Jamaah yang bergerak dengan pembiayaan sendiri itu adalah untuk jangka masa empat bulan, dua bulan dan empat puluh hari bertujuan antara lain mengajak saudara Islam sedunia sama-sama meneguhkan Iman masing-masing

31 buah negara luar menerima jamaah dakwah dari Malaysia ini ialah Jepun, Korea, Turkey, Bulgaria, United Kindom, Ireland, Australia, New Caledonia, Brazil, Sweden, Norway, Mauritius, Re-Union, Germany, West Indies, Tobago, Trinidad, Greece, Italy, Rusia, Kazahtan, Krygystan, New Zealand, Fiji, India, Bangladesh, Sri Langka, Singapore, Filifina, Brunei dan Indonesia

Demikian dimaklumkan oleh salah seorang ahli mesyuarat yang mengadiri mesyuarat tiga bulan sekali di masjid ini.

Lebih 200 orang ahli mesyuarat Jamaah Tabligh dari seluruh negara menghadiri meyuarat tersebut yang bermula jumaat dan berakhir sebelum zhohor tadi.

Ahli mesyuarat itu yang lebih selesa tidak dikenali ketika ditemui, melahirkan keyakinan bahawa Malaysia suatu masa nanti akan menjadi negara Islam yang proaktif dalam menyebarkan Islam ke seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan sokongan mantap pihak berkuasa negara ini.

Kehadiran beberapa pemimpin politik negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalan Datuk Seri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan di ijtimak Dakwah di Nilai dua tahun lepas telah menyerlahkan lagi sokongan mereka kepada jamaah dakwah ini, pastinya akan mendorong jamaah ini lebih giat lagi menghasilkan seberapa banyak jamaah untuk diagih-agihkan di dalam dan luar negara.

Kerjasama sebegini tentunya akan menjadikan Malaysia bukan sahaja maju dalam kebendaan dunia semata-mata tetapi juga meningkat dalam bidang agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini sejak dahulu..kini dan selamanya!

Jumaat, 18 Februari 2011

Taman rekreasi

Perdana Park

satukan warga kota

KOTA KINABALU: Petang jumaat bulan lepas seperti biasa setiap awal bulan saya akan ke Sandakan dan kali ini menaiki pesawat Maswing untuk menziarahi ibu dan

abang sulung, namun setiba di Sandakan kapal terbang yang dinaiki tidak dapat mendarat walau telah dicuba beberapa kali dan berlegar-legarlah kami di udara sebelum berpatah balik ke Kota

Kinabalu kerana cuaca buruk.

Setiba di Kota Kinabalu, pengurusan MASwing menyediakan penginapan, makan malam dan pengangkutan pergi balik dari Lapangan terbang ke Hotel dan penerbangan semula ke Sandakan pada keesokan harinya.

Dalam menikmati hidangan makan malam di hotel terselit simpati kepada Maswing kerana kerugian yang telah ditangung oleh syarikat tersebut.

Pada saya, MASwing adalah syarikat penerbangan yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan penumpang penerbangan mereka.Tindakan anak syarikat MAS ini sewajarnya dipuji dan disanjung tinggi. Saya pernah mengalami penerbangan tergendala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu(bukan MAS) kerana cuaca buruk pada bulan ramadhan beberapa tahun lepas. Syarikat penerbangan itu telah bermurah hati menyediakan sebiji Burger setiap seorang sebagai makan

malam di airport sementara menunggu penerbangan kami yang tergendala separuh malam

Di Sandakan, saya hanya sempat sehari semalam sahaja bersama ibu dan abang sulung, tidak banyak masa bersama dan menziarahi keluarga

kerana terpaksa pulang ke Kota Kinabalu pada petang ahad selain hujan

berterusan sepanjang hari telah menghadkan pergerakan saya di sana.

Pada isnin malam saya telah diajak anak bongsu berusia 7 tahun ke Perdana Park kira-kira satu kilometer dari kediaman kami untuk berjogging sambil melihat pancutan air di taman tersebut. Permintaan anak bongsu saya ini sukar untuk ditolak sekalipun saya masih keletihan.

Terpegun saya seketika bila melihat air dengan pancaran lampu berwarna warni memancut ke udara mengikut rentak muzik Pocho-pocho, joget, sumazau dan beberapa lagi rentak muzik.

Walaupun pancutan air sedemikian bukan lagi asing di luar Sabah namun Perdana Park yang terletak di tapak bagi rumah-rumah Kerajaan

pada awal tahun 1930-an hanya beberapa meter dari pantai peranginan

Tanjung Aru memang menarik serta istimewa. Rakyat sabah patut bersyukur dan berterima kasih kerana pihak berkuasa menyediakan taman yang pada anggapan saya boleh membina kesihatan fizikal dan mental warga kota di sini sekiranya kemudahan tersebut digunakan

sebaiknya.

Dengan membawa keluarga berekreasi di taman ini boleh memupuk semangat bersukan dan mengeratkan lagi hubungan keluarga. Selain keindahan dan kelunakan muzik yang mengiringi pancutan air yang beraneka warna pada sebelah malam itu terdapat juga kawasan permainan kanak-kanak dan trek berjogging untuk pelbagai peringkat usia sejauh 500 meter.

Air minum yang bertapis juga disediakan secara percuma di taman itu yang dibuka dari jam 5.00 pagi hingga 10.00 malam.

Sepanjang minggu tersebut, Sandakan dan beberapa tempat lain, air telah menakutkan ramai orang kerana menyebabkan banjir, runtuhan tanah, penderitaan, kerugian dan kehilangan nyawa.

Di Perdana Park pula sebaliknya, air yang dipancutkan ke udara menjadi tarikan orang ramai berkunjung untuk menghilangkan stress, bergembira dan berekreasi bersama keluarga dan memungkinkan pemangkin kearah kehidupan sihat, cergas dan gembira di bandaraya ini

Wajarlah taman yang diilhamkan oleh YAB Datuk Seri Musa Hj Aman Ketua Menteri Sabah ini dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita pada 28 Januari yang lalu kerana berjaya menggembirakan penduduk bandaraya Kota Kinabalu dan juga menjadi tarikan pelancong luar negeri yang akan meningkatkan lagi pendapatan negara.

Ahad, 30 Januari 2011

TANAH RUNTUH


Masjid jamek Bandar Sandakan

dipenuhi lumpur

SANDAKAN( 30/01/2011): Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At- Tohiri, di pusat Bandar Sandakan yang dibina dibawah bukit dizaman pemerintahan Sultan Sulu kira-kira 200 tahun yang lalu telah dipenuhi lumpur pada malam sabtu sekitar jam 3 pagi, bagaimanpun tiada kemalangan jiwa berlaku

Keseluruhan ruang solat telah dipenuhi tanah yang mengalir dari bukit dan terdapat retak dibeberapa tempat bangunan masjid yang memungkinkan boleh runtuh bila-bila masa sekiranya tanah runtuh dan hujan berterusan untuk beberapa hari lagi.

Menitis airmata ini melihat keadaan masjid yang suatu ketika dahulu tempat saya solat jumaat dan ikhtikaf setiap minggu. Masjid ini pernah menjadi tumpuan jamaah tabligh setiap malam minggu sehinggalah pada tahun 2003 apabila ahli jawatankuasa masjid tidak lagi membenarkan jamaah tabligh berikhtikaf di masjid tersebut setiap minggu.

Masjid ini juga pernah menjadi tempat tumpangan pelajar-pelajar dari luar Bandar yang bersekolah di sekitar bandar ini pada tahun 60an dan 70an dan ada diantara mereka sudah menjadi orang ternama dan berjaya di Sabah ketika ini.

Pagi tadi Ketua Menteri telah datang meninjau keadaan masjid tersebut dan mungkin beliau akan mengumumkan’ sesuatu ‘ berkaitan masjid tersebut.


Sabtu, 1 Januari 2011

Khatam Al Quran

Al Quran pencetus akhlak mulia

- Datuk Ismail

KOTA KINABALU: Seramai lebih 150 orang Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah Khatam Al Quran sejak beberapa tahun lepas dan enam orang lagi telah menamatkan pengajian mereka baru-baru ini.

Datuk Ismail Awang Besar, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah meraihkan enam pegawai yang telah menamatkan bacaan talaqqi dan musyafaha 30 juzuk Al Quran dibawah bimbingan Tuan Guru Al Hafiz Mohd Akmal Othman sejak tiga tahun lepas.

Datuk Ismail dalam ucapan beliau, berharap Anggota Perkhidmatan Awam khasnya di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri ( SPAN ) akan terus cemerlang sebagai anggota perkhidmatan awam disamping terus membina jatidiri dibidang agama lebih-lebih lagi dalam pengajian Al Quran.

“ Al Quran bukan sahaja dibaca semata-mata tetapi dihayati dan diamalkan agar terserlah akhlak mulia dalam diri umat Islam sebagaimana dikehendaki nabi kita Muhammad Rasululluh s.a.w “ Tambahnya.

Terdahulu, Encik Abdul Mumin Rasam, wakil pelajar yang baru menamatkan pengajian berucap dengan penuh emosi dan bersyukur mendapat ilmu Al Quran

“ Bagi pihak rakan-rakan saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak ternilai, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasabaik tuan guru Al Hafiz Mohd Akmal yang sudi dengan penuh kesabaran mencurahkan ilmu al Quran kepada kami” kata beliau sambil mengesat air mata tanda gembira dan syukur mendapat ilmu Al quran.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Badan Kebajikan Islam yang menyediakan ruang dan menganjurkan kelas pengajian Al Quran pada waktu rehat setiap hari bekerja

Pengerusi Badan Kebajikan Islam ( BKI ) SPAN , Encik Ag Ibrahim Ag Latif, dalam ucapan beliau menyeru rakan –rakan yang ingin belajar Al Quran supaya memaklumkan Ahli Jawatan Kuasa BKI supaya kelas seterusnya boleh diatur awal tahun depan.

Majlis tersebut diadakan di Pejabat Suruhanjaya perkhidmatan Awam Negeri Sabah tingkat 4, Blok B , Wisma Muis, kira kira satu kilometer dari pusat bandaraya

Seramai 40 orang kakitangan SPAN hadir dalam majlis tersebut, antara mereka ialah Puan Rusnah Kuyung Pemangku Setiausaha SPAN, Puan Hjh Latifah Datuk AB Titingan Ketua Bahagian Pengambilan & Pelantikan, Cik Nurul Harlijah Hj Othman Ketua Bahagian Pengesahan Jawatan, Encik Harris Ag Tahir Ketua Bahagian Memangku, Encik Ag Dzulkernain Ag Hassan Ketua Bahagian Kualiti dan Encik Mohd Jamri Ag Damit, Pemangku Ketua Bahagian Tatatertib.

GAMBAR DARI ATAS ( 1 )Datuk Ismail Awang Besar ( 2 )Tuan Ustaz Al Hafiz Mohd Akmal (Duduk -baju gelap)( 3 )Encik Ag Ibrahim Ag Latif( 4 )Encik Momin Rasam( 5 )Puan Rusnah Kuyung ( baju gelap )