Sabtu, 25 Julai 2009

POLITIK

Perdamaian yang ikhlas

menyatukan Ummah






Sudah 16 bulan pilihanraya Umum Malaysia ke 12 berlalu, namun suasana politik negara seakan masih menagih pilihanraya diteruskan. Pilihanraya Umum tersebut yang berjaya mencetuskan suasana panik, terperanjat dan gelisah di kalangan masyarakat, jika tiada kekuatan fizikal dan mental pasti ramai mati terkejut. Apa tidaknya Barisan Nasional ( BN ) sebuah gabungan Parti yang gagah perkasa sejak hampir 50 tahun, nyaris-nyaris tersungkur akibat gelombang yang tiba-tiba mendatang tanpa ada petanda jelas kekuatanya, berjaya meranapkan banyak kawasan yang bernilai kepada BN

Bulan-bulan seterusnya BN semakin tidak popular terutama kepada masyarakat China dan India. Di Sabah dengan bangga dan berani SAPP diketuai oleh Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan keluar dari gabungan parti BN.Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa bersara awal bagi memberi laluan kepada Datuk Najib Razak dengan harapan BN dapat di pulihkan dengan cepat .

Dalam beberapa pilihanraya kecil yang diadakan kemudianya, ada yang meramalkan BN akan menang tetapi terbukti kecuali di Sarawak semuanya dimenangi mudah oleh Pakatan Rakyat ( PR ) sehinggalah pilihanraya kecil Manek Urai menyaksikan PAS menang tipis dengan hanya majoriti 65 undi.

Kawan-kawan yang ditemui rata-rata mengatakan bahawa pilihanraya kecil Manek Urai ini petanda awal BN akan bangkit. Sehingga pada saat artikel ini ditulis masih lagi terdengar di sana sini dibicarakan dari pelbagai aspek dan sudut mengenai kesan dan akibat keputusan pilihanraya kecil itu yang memang menjadi medan pertarungan BN dan PR bagi membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa salah satu dari dua gabungan parti ini adalah yang akan menjadi pilihan rakyat pada pilihanraya Umum akan datang

Dalam pilihanraya kecil ini, BN bolehlah menarik nafas lega kerana manis buat mereka sebab berjaya menafikan kemenangan mudah dalam kubu kuat PAS sementara bagi PR kemenangan PAS ibarat asam dalam minuman kerana kemenangan tipis di gelanggang sendiri di luar jangkaan.

Banyak isu yang telah menyebabkan 1287 pengundi di Manek Urai menolak PAS dan PR, namun dalam artikel ini hanya tiga isu yang di ketengahkan untuk renungan bersama.

KERAJAAN PERPADUAN



Ramai berpendapat negara kita pada ketika ini perlu kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan Datuk Hadi Awang Presiden PAS. Dengan terlibatnya PAS dalam kerajaan Persekutuan orang melayu yakni Islam akan merasa lebih selamat, kuat dan selesa. Penolakan kerajaan perpaduan secara kasar oleh kepimpinan PAS dan PR itu menyebabkan orang Islam terutama golongan muda berkecil hati dan kemenangan tipis PAS itu adalah tanda protes dan merajuk pengundi Manek Urai.

UMNO TIDAK ISLAMIK BERBANDING PAS ?

Kemerosotan undi orang Islam dalam BN sejak sekian lama adalah kerana UMNO dilabel sebagai kurang Islam berbanding dengan PAS. Namun tindakan demi tindakan orang-orang PAS dan Pakatan Rakyat nampak seperti berdendam, sakit hati dan sentiasa menyalahkan UMNO dan BN dalam banyak perkara dan kelihatan sangat seolah-olah hanya PAS dan PR sahaja yang betul dan baik sedangkan semua orang Islam tahu sifat sedemikian tidak baik kerana iblis tersingkir dari syurga kerana mengaku lebih baik daripada nabi Adam seperti firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 76, mahfumnya: “ Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak lebih bijak, menonjolkan kelembutan berbicara dan merendah diri tambahan pula Ijtimak Dakwah Sedunia diadakan di Sepang pada 10-12 Julai, dua hari sebelum pilihanraya Kecil di Manek Urai telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh BN dengan turut serta bersama menjayakan ijtimak tersebut.
Surat khabar dan media elektronik pula berperanan secara meluas menyampaikan berita tersebut keseluruh negara menampakan satu perhimpunan Islam terbesar di Malaysia yang tiada kena mengena dengan politik kepartian.

Kehadiran Perdana Menteri dan timbalanya, sekaligus menzahirkan Islamiknya mereka berdua pada pandangan umum khususnya anak-anak muda di Manek Urai, sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi pemimpin Islam dalam pakatan yang turut hadir di ijtimak tersebut, gagal menggunakan peluang besar seperti yang dilakukan Perdana Menteri dan timbalanya. Isu ini nampak kecil dan remeh tetapi besar pada orang Islam dan ianya telah berjaya menghakis sokongan kepada PAS dan PR di Manek Urai
PEMBANGUNAN

Agenda pembangunan memang masih relevan sehingga sekarang kepada majoriti orang Islam di mana sahaja mereka berada sebab pembangunan infrastruktur khususnya sangat diperlukan lebih-lebih lagi di Manek Urai.




Di Bandar-bandar besar yang majoritinya bukan Islam, pembangunan bukan menjadi isu utama. Sekalipun ada pembangunan biasanya parti DAP juga yang menang sebab majoriti bukan Islam masih boleh hidup selesa tanpa jambatan, tanpa bas berhawa dingin, tanpa jalanraya berturap berbanding orang di pedalaman khususnya di Manek Urai
Tawaran pembangunan telah diterima baik menyebabkan undi PAS menjunam dan undi BN pula telah meningkat hingga hampir dapat menawan Manek Urai. Sekiranya Kelantan tidak diperintah oleh PAS ketika ini berkemungkinan besar Manek Urai sudah dimiliki BN pada hari ini

Pilihanraya kecil Manek Urai adalah isyarat orang Islam kepada Datuk Najib Razak sebagai Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nik Aziz sebagai orang yang paling berkuasa dalam PAS, Datuk Hadi Awang selaku Presiden PAS dan Datuk Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang untuk berdamai dan bersatu dalam memerintah Negara.

Tidak mungkin tidak boleh sebab mereka ini sama-sama mengucap dua kalimah sahadah, solat 5 waktu menghadap kiblat yang sama iaitu Baitullah, berpuasa di bulan ramadhan, berzakat fitrah dan harta serta menunaikan haji di Mekah.

Namun perdamaian dan kesatuan hati pemimpin ini akan menjadi angan-angan sahaja sekiranya kepentingan peribadi bermaharajalela dalam diri setiap daripada mereka.

Sekiranya mereka berjuang dengan ikhlas semata-mata kerana Allah demi kebajikan masyarakat, agama dan negara tidak nampak apa rasionalnya mereka tidak boleh berdamai dan bersatu memimpin negara.

Rasulullah SAW pernah sakit hati kepada Hindun Binti Utbah dan Wahsyi budak suruhan Jubair Bin Mutham kerana membunuh kejam pakciknya Saidina Hamzah r.a, tetapi sanggup memaafkan kerana mereka berdua beriman kepada Allah.

Nabi adalah seorang yang maksum dan berada dalam pemeliharaan Allah, makhluk di langit dan di bumi memuliakan nabi SAW , tidak nampak apa-apa alasan untuk kita sebagai insan biasa yang mempunyai banyak kelemahan ini tidak mahu berdamai dan memaafkan sesama Islam.

Kita sekarang seakan berpuak-puak. Banyak contoh telah berlaku depan mata kita di mana golongan sebegini sentiasa jatuh menjatuh sesama mereka yang akhirnya hancur lebur bukan sahaja diri dan keluarga malah negara mereka.



Natijah daripada kehancuran tersebut orang luar juga yang kaya raya, senang lenang dan bahagia disamping penderitaan dan kesusahan yang berpanjangan dilalui oleh mereka yang berpuak-puak ini

Wahai orang Islam mengadulah kepada Allah dan jadilah perantara yang baik dan adil agar pemimpin kita yang dikasihi ini berdamai dan bersatu demi agama, bangsa dan negara serta umat nabi SAW keseluruhannya. Negara kita akan menjadi lebih aman, makmur dan mendapat berkat dengan penyatuan dan kerjasama mereka serta seluruh rakyat negara ini .InsyaAllah.

Khamis, 16 Julai 2009

Rabu, 15 Julai 2009

IJTIMAK


^ Sebahagian peserta dalam program di ijtimak


^ Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA )


Ummat Islam wajib
tingkatkan Iman masing-masing

- Maulana Saad


NILAI: Kehadiran ratusan ribu ummat Islam di ijtimak ( Perhimpunan ) Dakwah Tabligh Sedunia 2009 di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini yang bermula Jumaat lalu merupakan satu petunjuk bahawa masjid sebagai Pusat Dakwah, Ibadah, Gedung ilmu dan Pusat Khidmat masyarakat setempat memag terserlah, lebih-lebih lagi ijtimak ini mendapat perhatian positif daripada Perdana Menteri dan Timbalan beliau serta menteri-menteri kabinet Islam dengan terlibat secara langsung dan hadir sama di majlis tersebut

Seperkara yang mengejutkan ramai peserta ialah kehadiran Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang sudi melapangkan masa duduk bersama para peserta mendengar nasihat oleh Maulana Saad dan doa penutup ijtimak oleh Maulana Zubir kemudian solat berjamaah Zohor sebelum berangkat pulang, diiringi Menteri Pertahanan, Y.B Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Y.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan


^ Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam khemah ulama
di ijtimak tersebut

Sebelum itu pada petang khamis, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor,Datuk Khalid Ibrahim meluangkan masa hadir dan beramah mesra seperti juga pemimpin negara yang lain dengan ulama-ulama Tabligh dan beredar dari tapak ijtimak sebelum waktu maghrib

Kehadiran mereka ini adalah sesuatu yang manis kepada peserta, dimana dalam kesibukan tugas mentadbir negara dan negeri, dapat juga mereka meluangkan masa untuk memberi sokongan dan turut serta menjayakan ijtimak tersebut.

Ijtimak terdahulu diadakan di Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Terengganu, pada tahun 1982, dihadiri kira-kira 50,000 orang

Kehadiran masyarakat Islam dalam dan luar negara tanpa mengira kedudukan tentunya petanda awal Islam akan muncul sebagai satu masyarakat yang kukuh dan bersatu. Semoga Allah sentiasa mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan sesama islam sedunia khususnya kita di Malaysia.


^ Sebahagian peserta berwudhu


Peserta yang hadir, di tempatkan dalam 15 unit khemah besar diatas tanah lapang seluas 30 ekar dan setiap unit boleh menampung sehingga 12,000 orang solat berjamaah dalam satu masa

Keadaan dan suasana sepanjang 3 hari ijtimak ini sungguh menarik dan mengharukan, belum pernah saya melihat sebelum ini kehadiran sebegitu ramai manusia dimana-mana dalam Malaysia, yang lengkap dengan pakaian baju Melayu dengan songkok, jubah, gamis, kain dengan kopiah dan serban dipenuhi dengan percakapan yang boleh meningkatkan iman dan hubungan persaudaraan sesama Islam bertambah akrab.

Lautan manusia di luar khemah
V



Sebaik azan di kumandangkan semua peserta masing-masing bersedia untuk solat berjamaah

Bagi mereka yang pernah ke Mekah dan Madinah pasti dapat membayangkan ijtimak tersebut seakan perhimpunan di Madinah dan Mekah yang menghimpunkan pelbagai negara, bangsa, warna kulit dengan keadaan fizikal yang berbeza, ada yang dipapah, diusung, bertongkat, malah yang kurang sehat pun tidak ketinggalan untuk hadir.

Mereka datang atas satu niat dan maksud iaitu mengesahkan Allah SWT, mengikut sunnah nabi Muhammad Rasulullah SAW serta mendampingi ulama-ulama yang mengabdikan diri sepanjang hayat mereka dengan usaha agama Islam yang murni ini


> Berehat seketika sebelum program bermula

Selain yang bermalam di khemah, puluhan ribu lagi peserta yang kediaman mereka tidak terlalu jauh berulang alik dari rumah ke tapak ijtimak setiap hari

Tuan Hj Zahar Hj Ahad, setiap selesai ceramah umum sekitar jam 11 malam akan pulang ke rumah di Klang dan kembali ke tapak ijtimak pada pagi besoknya

Sementara Encik Hanafi dari Ranau Sabah, ketika ditemui melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana dapat menghadiri ijtimak dan mendengar nasihat dari ulama-ulama yang merupakan pengerak utama usaha dakwah yang bertebaran di
serata dunia sejak sekian lama


> Penulis bergambar bersama rakan
dari Sabah sebagai kenangan

Seorang peserta dari Argentina, Sdra Diogo Ibrahim pada mulanya berhasrat untuk melancong ke Indonesia namun telah melencongkan haluan beliau ke Malaysia apabila mendapat tahu ijtimak dakwah sedunia 2009 diadakan di Malaysia

Dalam ucapan mengalu-alukan kehadiran jamaah ke ijtimak sebelum solat jumaat di Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Menteri Besar Negeri Sembilan, Y.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan merakamkan ucapan selamat datang dan melahirkan rasa gembira dan bangga kerana kehadiran jamaah begitu ramai sekali.

Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri dibawah pimpinannya akan terus memberi sokongan dan bersedia menyediakan tapak lebih besar lagi sebagai tapak ijtimak kekal setip tahun di Negeri Sembilan di masa akan datang

^ Antara suasana dalam khemah semasa rehat

Sebanyak 1,186 jamaah ( 12,000 orang) , Berjaya di bentuk sepanjang persiapan sehinggalah hari terakhir ijtimak untuk di hantar ke seluruh Malaysia, dan luar negara termasuk satu jamaah ke Italy untuk jangkamasa 4 bulan, 2 bulan dan 40 hari serta 1 jamaah Ulama 1 tahun

Jamaah yang dibentuk dan dihantar ke serata tempat bertujuan untuk belajar dan menghayati serta mengamalkan Islam seperti mana penghayatan dan pengamalan Islam di zaman Rasulullah SAW dan sahabatnya.

^
Tuan Hj Suhaimi dari negeri Johor, menghilangkan dahaga
di gerai berhampiran selepas penat bertungkus
lumus sebagai urus setia pembentukan jamaah

Sekiranya setiap umat Islam sedunia dapat menghayati dan mengamalkan Islam seperti di zaman Rasulullah SAW, insyaAllah ummat ini akan kembali cemerlang dan digeruni serta akan menjadi pemimpin dunia masa kini seperti mana suatu masa dahulu

Negara-negara luar yang menyertai ijtimak tidak kurang dari 25 buah negara, antaranya Pelastin, Jepun, China, Hongkong, Australia, Turki, Negara Afrika, Amerika, Asia barat, Amerika latin, Eropah, Pakistan, India, Bangladesh, Rusia, dan negara – negara Asian.

Dalam ijtimak tersebut antara lain, Maulana Saad, ahli Syura Jamaah Tabligh sedunia yang berpusat di Nizamuddin New Delhi India, menyeru Ulama turut serta dan bergerak kepada masyarakat untuk menyebarkan ilmu masing-masing, sama ada masyarakat menerima baik atau sebaliknya supaya masyarakat dunia mendapat manfaat daripada ilmu dan pergerakan mereka. Nabi Muhammad SAW sentiasa bergerak mengajak manusia beriman kepada Allah SWT sekalipun ajakanya di tolak. Ulama tidak harus menunggu sahaja untuk di datangi kerana masyarakat sangat memerlukan sentuhan dan ilmu mereka.


^ merehatkan diri dengan berzikir di khemah sementara menungu program di mulakan

Para peserta juga di nasihatkan agar sentiasa berusaha meningkatkan iman masing-masing, bertakwa dan sabar dalam apa juga halangan dan rintangan yang dihadapi dalam kehidupan dan seboleh mungkin berusaha meletakkan hanya Allah SWT dalam hati masing-masing untuk menggelakkan hati di kuasai oleh perkara-perkara dan benda-benda selain Allah SWT.

Di tahun-tahun mendatang, dengan sokongan kerajaan dan seluruh masyarakat Malaysia, ijtimak dakwah ini sudah tentu akan dapat menghimpunkan jutaan manusia dari segenap pelusuk dunia dan insyaAllah mampu menyatukan ummat islam sedunia khasnya Malaysia yang kelihatan seakan berpecah ketika ini

Dengan berakhirnya ijtimak yang mencatat sejarah tersendiri ini, sebagai ummat Islam sangat baik kita berazam bahawa kita adalah antara rakyat Malaysia yang boleh mempermudahkan tercapainya hasrat Perdana Menteri menjadikan negara kita ini 1Malaysia selaras dengan apa yang dizahirkan dalam ijtimak tersebut.

Isnin, 13 Julai 2009

IJTIMAK DAKWAH

Peserta asing puji Malaysia aman



Sebahagian daripada 200,000 jemaah tabligh dari seluruh dunia beredar meninggalkan tempat perkhemahan Ijtimak Dakwah Tabligh Sedunia di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan setelah perhimpunan itu berakhir semalam. Mereka gembira berada di negara ini kerana dapat menunaikan ibadat tanpa sekatan. – Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN


Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRIutusanN9@utusan.com.my
NILAI 12 Julai – Rakyat asing yang menyertai Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia atau Ijtimak 2009 yang berakhir hari ini gembira dan bersyukur perhimpunan itu berlangsung dengan jayanya.

Rata-rata mereka yang ditemui memuji keadaan negara yang aman, sekali gus membolehkan amal ibadat disempurnakan dalam suasana selesa dan tenang di sini.
Salah seorang jemaah yang ditemui, Mohamad Ibrahim, 60, dari Hebron, Palestin, gembira berada di negara yang aman damai dan dapat menunaikan amal ibadat tanpa ada sekatan.

“Saya gembira berada di sini, kami dapat menemui rakan-rakan daripada pelbagai negara bagi mengikuti program ijtimak.

“Saya berdoa agar Allah SWT memberi rahmat kepada negara ini agar sentiasa aman dan dilindungi setiap masa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Ghani Naghorghani, 47, dari Myanmar juga gembira berada di negara yang membangun dan aman dengan rakyat pelbagai kaum.

‘‘Pembangunan di negara ini cukup membanggakan, walaupun terdapat perbezaan kaum ia tidak menghalang kami untuk melakukan aktiviti seperti ini.

“Saya berharap perhimpunan seperti ini yang diadakan setiap enam bulan dapat diadakan di negara ini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Abdul Halim Thabit, 50, dari China pula, percaya kebebasan beragama di negara ini membolehkan rakyatnya menjalankan aktiviti keagamaan tanpa halangan.

“Ini merupakan negara terbaik yang pernah saya kunjungi kerana walaupun terdapat pelbagai kaum di sini, tidak ada halangan bagi umat Islam untuk melaksanakan tuntutan agama,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat menyertai ijtimak tersebut.

Ketibaan baginda di lokasi ijtimak berhampiran kuarters kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Turut menyambut baginda ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Baginda kemudiannya menyertai solat Zuhur bersama-sama lebih 200,000 jemaah tabligh dan mendengar tazkirah sebelum berangkat pulang.

Ijtimak yang menghimpunkan jemaah dari dalam dan luar negara itu kali kedua diadakan di negara ini selepas 27 tahun lalu.

Kali pertama ia diadakan di Terengganu dengan kehadiran lebih 50,000 orang.

IJTIMAK TABLIGH

Najib kunjungi Ijtimak Tabligh



NAJIB bersalaman dengan anggota tabligh
ketika menghadiri Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia
di tanah lapang bersebelahan dengan Masjid Kuarters
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.


NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam sempat meluangkan masa bersama 200,000 jemaah yang menghadiri Ijtimak (Perhimpunan) Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini yang bermula Rabu lalu.

Perdana Menteri yang tiba jam 5.10 petang terus menunaikan solat Asar di kawasan khemah terbuka bersama anggota jemaah tabligh. Beliau kemudian menyampaikan ucapan ringkas mengalu-alukan kedatangan peserta.

"Saya mengucapkan selamat datang kepada saudara-saudara semua, Semoga Allah merahmati dan menjadikan kita umat yang berjaya," katanya.

Najib Kemudian menghabiskan masa kira-kira 30 minit bermuzakarah bersama ahli syura jemaah tabligh. Antara mereka ialah Sheikh Mohamad Ali. Bagaimanapun, wartawan tidak dibenarkan memasuki khemah khas untuk tetamu kehormat.

Jurucakap jemaah tabligh, Ridzuan Mohd Sagir, berkata mereka yang turut serta dalam muzakarah itu ialah tetamu luar negara seperti Prof Abd Rahman dari India.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut sama meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadiri perhimpunan itu, semalam.

Sebaik tiba kira-kira jam 1.30 tengah hari, beliau mendengar taklimat mengenai majlis itu sebelum menyertai solat Zuhur berjemaah bersama peserta dari 40 negara termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.

"Perdana Menteri bersama ahli syura tidak bercakap mengenai hal keduniaan, sebaliknya membincangkan perkara keimanan dan mendekatkan diri dengan Allah SWT," katanya.

Seorang lagi anggota jemaah tabligh yang turut menghadiri pertemuan itu, Prof Hanim Tahir, berkata Perdana Menteri turut meminta jemaah tabligh ketika berdoa di majlis penutup hari ini, mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Terdahulu, pada tengah hari semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama jemaah dari 40 negara, termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin menyifatkan perhimpunan berkenaan yang terbesar di dunia dan bersyukur kerana dapat menghadirinya serta bertemu pemimpin jemaah yang membicarakan soal cinta kepada agama, semangat ukhuwah Islamiah, bersikap sederhana dan usaha menyatukan ummah.

( Akhbar Berita Harian 12 Julai 2009 )

IJTIMAK DAKWAH




Pemimpin Kumpulan Tabligh
diseru satupadukan ummah

11/07/2009 4:50pm

NILAI 11 Julai — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa melawat Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini.


Beliau tiba pada kira-kira pukul 1.30 petang dan sejurus tiba beliau dibawa ke sebuah khemah khas berhawa dingin dan kemudian diberi taklimat oleh anggota Syura Malaysia Sheikh Mohamad Sheikh Ali mengenai perhimpunan itu.

Beliau kemudian menunaikan solat zohor bersama ratusan ribu jemaah. Selesai solat dan sebelum beredar pulang pada kira-kira pukul 2.15 petang, beliau sempat bersalam-salaman dan beramah mesra dengan jemaah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Muhyiddin berkata beliau sudah berjumpa dengan pemimpin kumpulan perhimpunan tabligh tersebut dan menyeru mereka agar sentiasa mementingkan soal kecintaan kepada agama, semangat perpaduan ukhwah Islamiah serta bersikap sederhana dan berusaha untuk menyatupadukan ummah.

“Perhimpunan kumpulan Tabligh ini adalah yang terbesar dan Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama kumpulan itu pada hari ini,” katanya ringkas.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 200,000 jemaah dari 40 buah negara itu bermula Rabu lepas dan berakhir esok.

Perhimpunan itu adalah kali kedua diadakan di Malaysia selepas 27 tahun.
Kali pertama Malaysia sebagai tuan rumah perhimpunan itu, ia diadakan di Terengganu.
— BERNAMA ( Akhbar Utusan Malaysia )

IJTIMAK


JEMAAH tabligh membawa hidangan ‘makan sedulang’ untuk dinikmati
bersama rakan-rakan pada Ijtimak Dakwah Tabligh Sedunia di Nilai semalam.



SEBAHAGIAN daripada jemaah tabligh berkumpul di bawah khemah
sempena Ijtimak Dakwah Sedunia di Nilai semalam.


100,000 Jemaah Tabligh ‘Tawan’ Nilai


NILAI – Lautan manusia.
Begitulah suasana yang boleh digambarkan apabila kira-kira 100,000 jemaah tabligh dari seluruh dunia membanjiri Kuarters Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini sempena Ijtimak Dunia 2009 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Bilangan jemaah yang hadir dijangka meningkat kerana ulama-ulama tersohor dari seluruh dunia juga akan hadir sepanjang tiga hari program tersebut.

Bagi tujuan itu, pihak penganjur telah membelanjakan RM2 juta untuk menyediakan 10 khemah besar yang setiap satu boleh menempatkan 10,000 hingga 11,000 jemaah. Selain itu, sebanyak RM5 juta lagi diperuntukkan untuk penyediaan makanan dan minuman yang diuruskan oleh 1,500 tukang masak yang juga dari kalangan ahli tabligh sendiri.

(Akhbar Kosmo! 11 julai 2009)

Rabu, 1 Julai 2009

KELUARGA

Mengharungi laut China Selatan demi Cinta!

^ Kiri: Pn Basiah( Ibu Mertua Ustaz )
Tg Aru Beach, Kota Kinabalu: Perkahwinan Ustaz Firdaus Bin Hj Said dari Sabah dengan Ustazah Hayati Binti Mejar ( B ) Hj Erre dari Perak pada 09 Jun 2005 sememangnya telah merintis jalan mudah mencapai harapan Perdana Menteri kita yang ke enam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Dua keluarga ini, yang dipisahkan oleh lautan China Selatan telah menjadikan mereka satu keluarga besar yang memungkinkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat 1Malaysia dalam erti kata sebenar pastinya akan berjaya

Perkahwinan mereka memang telah menyatukan jiwa dua insan dari Semenanjung dan Sabah yang suatu ketika dahulu pernah disebut orang politik sebagai kurang mesra, kini sekurang-kurangnya jurang perbezaan antara orang semenanjung dengan orang Sabah telah terhakis dan akhirnya akan luputlah perbezaan antara keduanya kesan perkahwinan sebegini


^ Dari Kanan: Sakinah,En Khalid,Tn Hj Erre,
Ustazah Hayati,Ustaz Firdaus

Mereka berdua yang kini masih dalam suasana gembira kerana di anugerahkan seorang lagi putera yang comel bernama Mohd Fahim, tambahan pula ayah dan ibu serta adik dari semenanjung telah bercuti ke Sabah selama dua minggu semata-mata ingin bersama meraihkan kegembiraan menyambut kehadiran putera kedua mereka yang baru dilahirkan pada 08 Jun 2009



^ Makan berjamaah memang seronok


Ketika diajukan soalan, mengapa Ustaz tidak mengizinkan isterinya untuk bersalin di Semenanjung sebagai tanda adil kepada keluarga isteri kerana anak pertama mereka Mohd Faqih juga dilahirkan di Sabah dua tahun lepas

Beliau menjelaskan, sekiranya anak ini dilahirkan di semenanjung mungkin akan timbul masalah kepada anaknya untuk bergerak bebas di Sabah di masa hadapan sekalipun ayahnya orang Sabah. Berbanding jika dia dilahirkan di Sabah, anak tersebut akan bebas ke semenanjung dan tidak perlu menghadapi sekatan perjalanan dan pekerjaan di Sabah.



^Kanan: Cik Marziah,Pn Zarinah, Cik Yana
dan Pn Faridah ( Ibu Ustaz )


Sebagai tanda kesyukuran ibu Ustaz Firdaus yang tinggal di Tg. Aru telah mengadakan satu majlis makan malam sederhana pada hujung minggu lepas, dihadiri ayah dan ibu mertua Ustaz dan diserikan lagi dengan kehadiran ayah saudara sebelah ibunya, En Khalid Hj Abdul Ahmad bersama isteri yang datang khas dari Sandakan.

Turut hadir di majlis tersebut sepupu Ustaz, Puan Zarina dan cik Marziah Hj Zahar dan seorang rakan kungsi mereka Cik Yana yang kebetulan datang ke Kota Kinabalu atas urusan perniagaan. Sepupu Ustaz ini sekarang telah menetap di Kelang sejak hampir 20 tahun yang lepas

Jamuan makan malam ala ‘steamboat seafood’ yang sederhana, ringkas dan santai itu berjaya menarik perhatian semua yang hadir kerana majlis tersebut mempertemukan kedua belah keluarga Ustaz yang terpisah selama hampir lima tahun, tentunya pertemuan tersebut lebih bermakna dan berharga berbanding majlis makan malam tersebut. Pertemuan mereka sebelum ini adalah pada masa perkahwinan Ustaz dan Ustazah pada tahun 2005




^ Kiri: Ustaz Firdaus,
Kanan: Tn Hj Erre ( Ayah Mertua Ustaz )

Dalam percutian selama dua minggu Mejar ( B ) Tuan Hj Erre, sempat juga berbual, berbincang dan bercerita mengenai pelbagai perkara dari hal keluarga, kerjaya hinggalah perihal politik negara. Seperkara yang menarik perhatian ialah perbualan mengenai tawaran Tuan Guru Datuk Nik Aziz untuk membubarkan Parti PAS sekiranya UMNO sedia melaksanakan undang-undang Hudud di Malaysia

Namun persoalan yang besar dan sukar untuk dijawab ialah sekiranya UMNO bersetuju dengan saranan tersebut, mampukan PAS dan UMNO yang hanya menguasai 104 daripada 222 kerusi Parlimen untuk memerintah negara kerana diandaikan parti politik yang lain seperti DAP, MIC, MCA, PPP, PBS, PBRS, UPKO dan lain-lain parti dalam BN dan Pakatan Rakyat akan meninggalkan UMNO dan PAS ?

Parti politik di Sarawak belum pasti akan memberi sokongan kepada UMNO dan PAS kerana sehingga kini Sarawak masih belum kelihatan boleh menerima PAS dan UMNO di sana

Mungkinkah PAS dan UMNO akan menjadi Pembangkang utama negara selepas itu? Dan persoalan tersebut kah yang menyebabkan idea Kerajaan Perpaduan yang diwar-warkan sebelum ini tidak kesampaian?

Sangat baik sekiranya PAS dan UMNO dapat bersatu dan menjelajah seluruh Malaysia menerangkan sebaik mungkin apa sebenarnya Hukum Hudud yang dahulu pernah disebut sebagai satu penghukuman yang kejam dan telah menakutkan orang bukan Islam. Sekiranya orang bukan Islam mendapat penjelasan yang betul mengenai Islam khususnya Hukum Hudud pasti ramai di kalangan mereka akan faham dan mendampingi Islam selepas itu

Malaysia mempunyai pelbagai agama dan budaya, suatu masa nanti kita tidak hanya menyambut Aidilfitri, Krismas, Wesak dan Thaipusam, begitu juga selain daripada sambutan budaya tempatan seperti Pesta Menuai dan Gawai mungkin juga kita akan meyaksikan suatu masa nanti budaya Jepun, Korea, Arab, Rusia ,Eropah dan lain-lain lagi di sambut setiap tahun di sini. Rakyat malaysia kini hadir dari kepelbagaian sukubangsa namun Islam adalah agama rasmi negara kita.

Pastinya 1Malaysia yang terdiri dari pelbagai sukubangsa dan bahasa dan diredhai Allah SWT akan menjelma kelak walaupun harganya terlalu mahal?