Isnin, 13 Julai 2009

IJTIMAK DAKWAH




Pemimpin Kumpulan Tabligh
diseru satupadukan ummah

11/07/2009 4:50pm

NILAI 11 Julai — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa melawat Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini.


Beliau tiba pada kira-kira pukul 1.30 petang dan sejurus tiba beliau dibawa ke sebuah khemah khas berhawa dingin dan kemudian diberi taklimat oleh anggota Syura Malaysia Sheikh Mohamad Sheikh Ali mengenai perhimpunan itu.

Beliau kemudian menunaikan solat zohor bersama ratusan ribu jemaah. Selesai solat dan sebelum beredar pulang pada kira-kira pukul 2.15 petang, beliau sempat bersalam-salaman dan beramah mesra dengan jemaah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Muhyiddin berkata beliau sudah berjumpa dengan pemimpin kumpulan perhimpunan tabligh tersebut dan menyeru mereka agar sentiasa mementingkan soal kecintaan kepada agama, semangat perpaduan ukhwah Islamiah serta bersikap sederhana dan berusaha untuk menyatupadukan ummah.

“Perhimpunan kumpulan Tabligh ini adalah yang terbesar dan Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama kumpulan itu pada hari ini,” katanya ringkas.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 200,000 jemaah dari 40 buah negara itu bermula Rabu lepas dan berakhir esok.

Perhimpunan itu adalah kali kedua diadakan di Malaysia selepas 27 tahun.
Kali pertama Malaysia sebagai tuan rumah perhimpunan itu, ia diadakan di Terengganu.
— BERNAMA ( Akhbar Utusan Malaysia )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan