Sabtu, 25 Julai 2009

POLITIK

Perdamaian yang ikhlas

menyatukan Ummah






Sudah 16 bulan pilihanraya Umum Malaysia ke 12 berlalu, namun suasana politik negara seakan masih menagih pilihanraya diteruskan. Pilihanraya Umum tersebut yang berjaya mencetuskan suasana panik, terperanjat dan gelisah di kalangan masyarakat, jika tiada kekuatan fizikal dan mental pasti ramai mati terkejut. Apa tidaknya Barisan Nasional ( BN ) sebuah gabungan Parti yang gagah perkasa sejak hampir 50 tahun, nyaris-nyaris tersungkur akibat gelombang yang tiba-tiba mendatang tanpa ada petanda jelas kekuatanya, berjaya meranapkan banyak kawasan yang bernilai kepada BN

Bulan-bulan seterusnya BN semakin tidak popular terutama kepada masyarakat China dan India. Di Sabah dengan bangga dan berani SAPP diketuai oleh Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan keluar dari gabungan parti BN.Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa bersara awal bagi memberi laluan kepada Datuk Najib Razak dengan harapan BN dapat di pulihkan dengan cepat .

Dalam beberapa pilihanraya kecil yang diadakan kemudianya, ada yang meramalkan BN akan menang tetapi terbukti kecuali di Sarawak semuanya dimenangi mudah oleh Pakatan Rakyat ( PR ) sehinggalah pilihanraya kecil Manek Urai menyaksikan PAS menang tipis dengan hanya majoriti 65 undi.

Kawan-kawan yang ditemui rata-rata mengatakan bahawa pilihanraya kecil Manek Urai ini petanda awal BN akan bangkit. Sehingga pada saat artikel ini ditulis masih lagi terdengar di sana sini dibicarakan dari pelbagai aspek dan sudut mengenai kesan dan akibat keputusan pilihanraya kecil itu yang memang menjadi medan pertarungan BN dan PR bagi membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa salah satu dari dua gabungan parti ini adalah yang akan menjadi pilihan rakyat pada pilihanraya Umum akan datang

Dalam pilihanraya kecil ini, BN bolehlah menarik nafas lega kerana manis buat mereka sebab berjaya menafikan kemenangan mudah dalam kubu kuat PAS sementara bagi PR kemenangan PAS ibarat asam dalam minuman kerana kemenangan tipis di gelanggang sendiri di luar jangkaan.

Banyak isu yang telah menyebabkan 1287 pengundi di Manek Urai menolak PAS dan PR, namun dalam artikel ini hanya tiga isu yang di ketengahkan untuk renungan bersama.

KERAJAAN PERPADUAN



Ramai berpendapat negara kita pada ketika ini perlu kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan Datuk Hadi Awang Presiden PAS. Dengan terlibatnya PAS dalam kerajaan Persekutuan orang melayu yakni Islam akan merasa lebih selamat, kuat dan selesa. Penolakan kerajaan perpaduan secara kasar oleh kepimpinan PAS dan PR itu menyebabkan orang Islam terutama golongan muda berkecil hati dan kemenangan tipis PAS itu adalah tanda protes dan merajuk pengundi Manek Urai.

UMNO TIDAK ISLAMIK BERBANDING PAS ?

Kemerosotan undi orang Islam dalam BN sejak sekian lama adalah kerana UMNO dilabel sebagai kurang Islam berbanding dengan PAS. Namun tindakan demi tindakan orang-orang PAS dan Pakatan Rakyat nampak seperti berdendam, sakit hati dan sentiasa menyalahkan UMNO dan BN dalam banyak perkara dan kelihatan sangat seolah-olah hanya PAS dan PR sahaja yang betul dan baik sedangkan semua orang Islam tahu sifat sedemikian tidak baik kerana iblis tersingkir dari syurga kerana mengaku lebih baik daripada nabi Adam seperti firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 76, mahfumnya: “ Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak lebih bijak, menonjolkan kelembutan berbicara dan merendah diri tambahan pula Ijtimak Dakwah Sedunia diadakan di Sepang pada 10-12 Julai, dua hari sebelum pilihanraya Kecil di Manek Urai telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh BN dengan turut serta bersama menjayakan ijtimak tersebut.
Surat khabar dan media elektronik pula berperanan secara meluas menyampaikan berita tersebut keseluruh negara menampakan satu perhimpunan Islam terbesar di Malaysia yang tiada kena mengena dengan politik kepartian.

Kehadiran Perdana Menteri dan timbalanya, sekaligus menzahirkan Islamiknya mereka berdua pada pandangan umum khususnya anak-anak muda di Manek Urai, sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi pemimpin Islam dalam pakatan yang turut hadir di ijtimak tersebut, gagal menggunakan peluang besar seperti yang dilakukan Perdana Menteri dan timbalanya. Isu ini nampak kecil dan remeh tetapi besar pada orang Islam dan ianya telah berjaya menghakis sokongan kepada PAS dan PR di Manek Urai
PEMBANGUNAN

Agenda pembangunan memang masih relevan sehingga sekarang kepada majoriti orang Islam di mana sahaja mereka berada sebab pembangunan infrastruktur khususnya sangat diperlukan lebih-lebih lagi di Manek Urai.




Di Bandar-bandar besar yang majoritinya bukan Islam, pembangunan bukan menjadi isu utama. Sekalipun ada pembangunan biasanya parti DAP juga yang menang sebab majoriti bukan Islam masih boleh hidup selesa tanpa jambatan, tanpa bas berhawa dingin, tanpa jalanraya berturap berbanding orang di pedalaman khususnya di Manek Urai
Tawaran pembangunan telah diterima baik menyebabkan undi PAS menjunam dan undi BN pula telah meningkat hingga hampir dapat menawan Manek Urai. Sekiranya Kelantan tidak diperintah oleh PAS ketika ini berkemungkinan besar Manek Urai sudah dimiliki BN pada hari ini

Pilihanraya kecil Manek Urai adalah isyarat orang Islam kepada Datuk Najib Razak sebagai Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nik Aziz sebagai orang yang paling berkuasa dalam PAS, Datuk Hadi Awang selaku Presiden PAS dan Datuk Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang untuk berdamai dan bersatu dalam memerintah Negara.

Tidak mungkin tidak boleh sebab mereka ini sama-sama mengucap dua kalimah sahadah, solat 5 waktu menghadap kiblat yang sama iaitu Baitullah, berpuasa di bulan ramadhan, berzakat fitrah dan harta serta menunaikan haji di Mekah.

Namun perdamaian dan kesatuan hati pemimpin ini akan menjadi angan-angan sahaja sekiranya kepentingan peribadi bermaharajalela dalam diri setiap daripada mereka.

Sekiranya mereka berjuang dengan ikhlas semata-mata kerana Allah demi kebajikan masyarakat, agama dan negara tidak nampak apa rasionalnya mereka tidak boleh berdamai dan bersatu memimpin negara.

Rasulullah SAW pernah sakit hati kepada Hindun Binti Utbah dan Wahsyi budak suruhan Jubair Bin Mutham kerana membunuh kejam pakciknya Saidina Hamzah r.a, tetapi sanggup memaafkan kerana mereka berdua beriman kepada Allah.

Nabi adalah seorang yang maksum dan berada dalam pemeliharaan Allah, makhluk di langit dan di bumi memuliakan nabi SAW , tidak nampak apa-apa alasan untuk kita sebagai insan biasa yang mempunyai banyak kelemahan ini tidak mahu berdamai dan memaafkan sesama Islam.

Kita sekarang seakan berpuak-puak. Banyak contoh telah berlaku depan mata kita di mana golongan sebegini sentiasa jatuh menjatuh sesama mereka yang akhirnya hancur lebur bukan sahaja diri dan keluarga malah negara mereka.



Natijah daripada kehancuran tersebut orang luar juga yang kaya raya, senang lenang dan bahagia disamping penderitaan dan kesusahan yang berpanjangan dilalui oleh mereka yang berpuak-puak ini

Wahai orang Islam mengadulah kepada Allah dan jadilah perantara yang baik dan adil agar pemimpin kita yang dikasihi ini berdamai dan bersatu demi agama, bangsa dan negara serta umat nabi SAW keseluruhannya. Negara kita akan menjadi lebih aman, makmur dan mendapat berkat dengan penyatuan dan kerjasama mereka serta seluruh rakyat negara ini .InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan