Jumaat, 18 Februari 2011

Taman rekreasi

Perdana Park

satukan warga kota

KOTA KINABALU: Petang jumaat bulan lepas seperti biasa setiap awal bulan saya akan ke Sandakan dan kali ini menaiki pesawat Maswing untuk menziarahi ibu dan

abang sulung, namun setiba di Sandakan kapal terbang yang dinaiki tidak dapat mendarat walau telah dicuba beberapa kali dan berlegar-legarlah kami di udara sebelum berpatah balik ke Kota

Kinabalu kerana cuaca buruk.

Setiba di Kota Kinabalu, pengurusan MASwing menyediakan penginapan, makan malam dan pengangkutan pergi balik dari Lapangan terbang ke Hotel dan penerbangan semula ke Sandakan pada keesokan harinya.

Dalam menikmati hidangan makan malam di hotel terselit simpati kepada Maswing kerana kerugian yang telah ditangung oleh syarikat tersebut.

Pada saya, MASwing adalah syarikat penerbangan yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan penumpang penerbangan mereka.Tindakan anak syarikat MAS ini sewajarnya dipuji dan disanjung tinggi. Saya pernah mengalami penerbangan tergendala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu(bukan MAS) kerana cuaca buruk pada bulan ramadhan beberapa tahun lepas. Syarikat penerbangan itu telah bermurah hati menyediakan sebiji Burger setiap seorang sebagai makan

malam di airport sementara menunggu penerbangan kami yang tergendala separuh malam

Di Sandakan, saya hanya sempat sehari semalam sahaja bersama ibu dan abang sulung, tidak banyak masa bersama dan menziarahi keluarga

kerana terpaksa pulang ke Kota Kinabalu pada petang ahad selain hujan

berterusan sepanjang hari telah menghadkan pergerakan saya di sana.

Pada isnin malam saya telah diajak anak bongsu berusia 7 tahun ke Perdana Park kira-kira satu kilometer dari kediaman kami untuk berjogging sambil melihat pancutan air di taman tersebut. Permintaan anak bongsu saya ini sukar untuk ditolak sekalipun saya masih keletihan.

Terpegun saya seketika bila melihat air dengan pancaran lampu berwarna warni memancut ke udara mengikut rentak muzik Pocho-pocho, joget, sumazau dan beberapa lagi rentak muzik.

Walaupun pancutan air sedemikian bukan lagi asing di luar Sabah namun Perdana Park yang terletak di tapak bagi rumah-rumah Kerajaan

pada awal tahun 1930-an hanya beberapa meter dari pantai peranginan

Tanjung Aru memang menarik serta istimewa. Rakyat sabah patut bersyukur dan berterima kasih kerana pihak berkuasa menyediakan taman yang pada anggapan saya boleh membina kesihatan fizikal dan mental warga kota di sini sekiranya kemudahan tersebut digunakan

sebaiknya.

Dengan membawa keluarga berekreasi di taman ini boleh memupuk semangat bersukan dan mengeratkan lagi hubungan keluarga. Selain keindahan dan kelunakan muzik yang mengiringi pancutan air yang beraneka warna pada sebelah malam itu terdapat juga kawasan permainan kanak-kanak dan trek berjogging untuk pelbagai peringkat usia sejauh 500 meter.

Air minum yang bertapis juga disediakan secara percuma di taman itu yang dibuka dari jam 5.00 pagi hingga 10.00 malam.

Sepanjang minggu tersebut, Sandakan dan beberapa tempat lain, air telah menakutkan ramai orang kerana menyebabkan banjir, runtuhan tanah, penderitaan, kerugian dan kehilangan nyawa.

Di Perdana Park pula sebaliknya, air yang dipancutkan ke udara menjadi tarikan orang ramai berkunjung untuk menghilangkan stress, bergembira dan berekreasi bersama keluarga dan memungkinkan pemangkin kearah kehidupan sihat, cergas dan gembira di bandaraya ini

Wajarlah taman yang diilhamkan oleh YAB Datuk Seri Musa Hj Aman Ketua Menteri Sabah ini dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita pada 28 Januari yang lalu kerana berjaya menggembirakan penduduk bandaraya Kota Kinabalu dan juga menjadi tarikan pelancong luar negeri yang akan meningkatkan lagi pendapatan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan