Khamis, 10 September 2009

TAZKIRAH


JANGAN LEPASKAN
LAILATUL-QADAR !



TANJUNG ARU, KOTA KINABALU: Hari ini genap 20 hari umat Islam Malaysia berpuasa. Selewat-lewatnya Hari Raya Aidil–Fitri akan disambut pada ahad depan.

Sepuluh malam terakhir ramadhan merupakan malam yang dinanti-nantikan umat Islam kerana terdapatnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan yang lain seperti mana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Qadr yang mahfumnya:

“1. Sesungguhnya kami telah menurunkan ( Al-Qur’an ) ini pada malam Lailatul-Qadar, (01) 2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? 3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (02) 4.Pada malam itu,turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);5. Sejahteralah Malam ( yang berkat ) itu hingga terbit fajar!

Anas r.a. berkata,”...Rasulullah s.a.w. bersabda: dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi.”

Aishah r.anha berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Carilah Lailatul-Qadar pada bilangan hari yang ganjil dari sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan.”

Ibnu Abbas r.anhuma berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda tentang orang yang beri’tikaf bahawa dia terpelihara daripada dosa-dosa, sedangkan dia akan diberi ganjaran amal-amal kebaikan seperti orang yang melakukan kesemua kebaikan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “ Sesiapa yang berdiri beribadat pada malam lailatul-Qadar dengan iman dan ihtisab ( berniat untuk mendapatkan ganjaran ) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

Dalam kesempatan ini marilah kita ajak mengajak keluarga, rakan-rakan dan umat Islam yang lain untuk sama-sama merebut peluang yang datang hanya setahun sekali.

Beribadat di masjid pada sepuluh malam akhir ramadhan dengan niat I’tikaf adalah lebih baik berbanding beribadat di rumah kerana masjid memiliki suasana ibadat tanpa ada sedikit pun perkara-perkara yang boleh menggangu dan mengalihkan perhatian kita kearah selain daripada mengingati Allah s.w.t.

Mudah-mudahan kita adalah antara insan yang diberi rahmat oleh Allah s.w.t. untuk mendapatkan lailatul-Qadar pada tahun ini.

Selamat beri’tikaf di masjid seperti mana Rasulullah s.a.w. lakukan pada 10 hari terakhir ramadhan.
___________

( 01 ) “Lailatul-Qadar “ – ialah Malam Kemulian dan Kebesaran

(02) - Yakni amal ibadat yg dikerjakan pada Malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain. Oleh sebab itu ada disebutkan di dalam hadith sahih bahawa Rasulullah ( s.a.w.) biasanya mulai dari malam 21 Ramadhan, Baginda membanyakkan ibadat sepanjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan Malam Lailatul-Qadar yang berkat itu yang berlaku pada salah satu malam dari sepuluh atau Sembilan malam yang akhir dari bulan Ramadhan ( Dipetik dari Tafsir Pimpinan Ar-Rahman )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan