Khamis, 21 Mac 2013

Kota Kinabalu: Hanya bantal tidur bapa menjadi peneman mengubat rindu Nur Izzaty Syafiqah Baharin, 11, apabila dia terlalu merindui bapanya, Sarjan Baharin Hamit yang terkorban dalam kejadian serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, 2 Mac lalu. Menurut ibunya, Sumiati Suarah, 51, meskipun kejadian itu hampir tiga minggu berlalu, anak bongsunya tetap merindui bapanya. “Dia selalu masuk ke bilik tidur kami dan tidur di atas bantal ayahnya kerana terlalu merindui ayahnya yang sudah tiada. “Saya nasihatkan dia supaya tidak terlalu kerap berkelakuan sebegitu kerana bimbang terbiasa,” katanya yang ditemui selepas majlis Penyerahan Sumbangan Peribadi dan Tabung Wira Lahad Datu Media Prima di Kampung Darau, Menggatal, dekat sini, semalam. Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengerusi Eksekutif Yayasan 1 Suria, Datin Seri Raya Erom. Sumiati berkata, anaknya itu belum dapat menerima kehilangan bapa tersayang berbanding anak sulungnya, Muhd Izzat Syafiq Baharin, 16. “Dia sukar menerima apa yang terjadi kepada ayahnya, tetapi sejak seminggu lalu dan selepas kembali bersekolah, dia kelihatan kembali bersemangat. “Rakan dan gurunya yang datang melawat memberinya semangat supaya tabah menghadapi dugaan“ katanya. Bagaimanapun, menurut Sumiati, sehingga kini anaknya itu masih tidak menonton sebarang berita di televisyen kerana amat sedih setiap kali terdengar lagu patriotik dan wajah bapanya diselitkan pada akhir siaran berita. Nur Izzaty bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-11 pada 25 Mac ini, sama dengan tarikh hari ulang tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Biasanya kami empat beranak menyambut hari jadinya di rumah ini, tetapi kali ini dia mahu membeli kek dan makan bersama keluarga di rumah ibu saudaranya,” katanya. Bagaimanapun, hajat anak bongsunya itu tidak tercapai kerana mereka akan menyambutnya dengan melakukan majlis tahlil untuk bapanya. “Setiap tahun dia tidak meminta hadiah sebaliknya ayahnya bertanya apa yang dia mahu,” kata Sumiati yang berkahwin dengan Baharin pada 1997 dan mereka dikurniakan dua anak dengan Muhammad Izzaty bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam dan Nur Izzaty Syafiqah di Sekolah Kebangsaan (SK) St Agnes, Likas. Baharin yang bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah antara enam pegawai dan anggota polis yang terbunuh akibat serang hendap pengganas di Semporna, 2 Mac lalu. Oleh Norasikin Daineh MyMatro Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Tiada ulasan:

Catat Ulasan