Khamis, 18 Jun 2009

PERHIMPUNAN ISLAM DI MASJID MENGGATAL



























MASJID MENGGATAL, KOTA KINABALU: Kira-kira 2000 orang Islam dari sekitar Labuan, Beaufort, Keningau, Papar, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas,Kudat , Pulau Banggi, Pulau Tibagu, Ranau, Kundasang dan Kota Kinabalu telah berhimpun di Masjid Pekan Menggatal sejak awal pagi Sabtu hingga Zohor Ahad minggu lepas

Perhimpunan yang dihadiri oleh kebanyakannya ketua keluarga seawal belasan tahun sehingga yang berusia melepasi 70an adalah Nelayan, Petani, Peniaga, Kakitangan Kerajaan, Arketik, Jurutera, Juruterbang, Doktor, Guru Agama dan sebagainya bertujuan semata-mata untuk memantapkan lagi akidah mereka sebagai Islam Ahli Sunnah Waljamaah yang merupakan agama rasmi negara ini

Mereka yang hadir lebih dikenali sebagai ‘ahli masjid’ kerana peranan mereka yang sentiasa menjadikan masjid dan surau sebagai tempat Ibadah, Pusat Dakwah, Gedung menimba ilmu dan Pusat Khidmat Masyarakat setempat

Mereka yang hadir dan iktikaf di masjid tersebut, sebahagian besar dari mereka ditempatkan dalam 19 unit khemah seluas 20’X 20’ dan 10’ X 10’ di luar masjid terdiri dari pelbagai sukubangsa seperti China, Melayu, Dusun, India, Pakistan, Indonesia dan Filipina

Sepanjang perhimpunan para peserta dihidangkan roti canai sebagai sarapan pagi dan nasi briani untuk makan tengahari dan malam serta lebih 400 kotak air meniral untuk minuman dan kira-kira 100,000 liter air bersih digunakan yang ditempah khas dari syarikat membekal air di sini untuk kegunaan sepanjang perhimpunan tersebut selama 1 malam 2 hari.

Perhimpunan berjalan dengan lancar dan mendapat sokongan dan galakan masyarakat sekitar termasuk mereka yang bukan Islam dengan menyediakan kawasan lapang masing-masing untuk meletak kenderaan mereka yang hadir

Seperkara yang menarik ialah ada dikalangan yang hadir terpaksa datang satu malam lebih awal kerana tempat tinggal mereka jauh dari tapak perhimpunan tersebut. Encik Khamis Kaya seorang guru di Pulau Tibagu terpaksa merentas lautan memakan masa kira-kira lapan jam menaiki bot untuk sampai ke bandar Kudat kemudian menaiki bas ke Kota Kinabalu sebelum menaiki bas lain ke Masjid Pekan Menggatal

Encik Imran dari Pulau Banggi, kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot ke bandar Kudat pula sanggup meninggalkan profesion beliau sebagai Nelayan selama tiga hari tiga malam semata-mata tidak mahu terlepas peluang menyertai perhimpunan tersebut yang turut dihadiri oleh guru-guru agama dari dalam dan luar negara

Selepas perhimpunan, seramai lebih 70 orang daripada yang hadir telah dihantar ke Beaufort, kepulauan di Utara Sabah khususnya Banggi dan Balambangan dan Pedalaman Pantai Barat untuk jangka masa sekurang-kurangnya empat puluh hari bertujuan mempelajari kehidupan Masyarakat Islam dan mempraktikan Dakwah mengikut cara Rasulullah SAW

Ceramah Khas untuk wanita di sekitar Kota Kinabalu juga diadakan di rumah Puan Faridah Hj Abdul Ahmad di di Tg Aru. Beliau ketika ditemui menjelaskan bahawa ceramah khas seperti itu perlu selalu diadakan kerana boleh memantapkan lagi akidah Islam mereka yang menghadiri ceramah tersebut

“ Dengan mantapnya akidah, kita akan mudah melaksanakan apa juga hukum-hukum agama yang diperintah untuk dilaksanakan dan meninggalkan segala larangan yang ditegah Allah SWT, dan ibadahpun akan lebih berkualiti malah hubungan sesama insan juga akan bertambah lebih baik lagi.” Ujarnya.

“ Bukan lelaki sahaja, wanita pun perlu selalu mendengar nasihat agama dalam majlis sedemikian supaya yang diperolehi dari majlis tersebut dapat secara langsung dipraktikan untuk kebaikan bersama keluarga, dan anak-anak juga akan mendapat tunjuk ajar yang betul dan mengikut kehendak agama daripada ibu mereka yang memang model kepada anak-anak.” Tambahnya lagi

Guru Agama yang hadir dan mengendalikan perhimpunan dipenuhi dengan ceramah agama itu diketuai oleh Maulana Mohamad Shoukath dari India, bertolak ke Beaufort selepas subuh Isnin, seterusnya ke Labuan selepas asar dan ke Brunei pada selasa pagi sebelum pulang ke Kuala Lumpur

Pengerusi Pelaksana Perhimpunan, Tuan Hj Mohamad Sulaiman, berkata perhimpunan itu berjalan lancar tanpa ada apa-apa insiden yang tidak dingini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada yang hadir kerana kerjasama yang diberikan hingga perhimpunan dapat berjalan lancar, juga terima kasih kepada pihak berkuasa , rakan-rakan dan jiran-jiran yang memberi kerjasama yang baik hingga terlaksananya perhimpunan tersebut dengan jayanya. Dan beliau berdoa semoga Allah membalas kebaikan kepada semua yang terlibat menjayakan perhimpunan tersebut.

Sementara itu di Tawau , program yang sama untuk Masyarakat Islam Pantai Timur juga di- adakan serentak pada hari dan masa yang sama di Madrasah Tahfiz Al Quran Jalan Imam Galundang, Kg Tanjung Batu Darat kira-kira lima kilometer dari bandar Tawau

Perhimpunan yang dipimpin oleh Maulana Abdul Hamid, Imam masjid Bandar Baru Sri Petaling dihadiri kira-kira 1,500 orang, dan lebih 100 orang dari perhimpunan tersebut telah dihantar untuk jangka masa sehingga empat bulan ke kepulauan dan Pendalaman Pantai Timur Sabah atas tujuan yang sama yakni mempelajari kehidupan Islam dan mempraktikan Dakwah Rasulullah SAW.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan