Khamis, 27 Ogos 2009

TAZKIRAH


MATA PANAH SYAITAN!




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selamat berpuasa kepada semua rakan-rakan dan umat Islam dimana jua anda berada.

Sempena bulan Ramadan ini, dicatatkan beberapa sabdaan Nabi s.a.w. untuk bacan kita bersama, mudah-mudahan akan memberi manfaat sebagai pedoman ringkas dan santai untuk meningkatkan lagi mutu puasa kita tahun ini:

Umar r.anhuma berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “ Allah s.w.t. dan para malaikatNya menurunkan rahmat keatas orang yang bersahur.”

Abdullah Bin Harith r.a. telah meriwayatkan daripada seorang sahabat bahawa beliau berkata , saya pernah bertemu Nabi s.a.w. sewaktu Baginda sedang makan sahur. Baginda telah bersabda, “ Bersahur adalah satu perkara yang diberkati yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu. Janganlah kamu meninggalkan bersahur.”

Dalam hadis yang lain Baginda telah bersabda, “ Jika tiada apa-apa ,maka makanlah walaupun dengan sebiji tamar kering ataupun seteguk air”.

Abu Ubaidah r.a berkata saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Puasa adalah perisai, selama dia tidak memecahkannya.”

Dalam riwayat lain menyatakan bahawa puasa adalah penjaga yang akan menyelamatkan seseorang daripada azab Allah s.w.t. Dinyatakan juga bahawa puasa akan menyelamatkan seseorang dari neraka jahanan. Dalam satu riwayat seseorang telah bertanya, “ Wahai Rasulullah! Apakah perkara yang merosakkan puasa?” Beginda menjawab, “ Berbohong dan mengumpat.”

Nabi s.a.w. bersabda, “ Penglihatan adalah satu daripada anak-anak panah syaitan. Sesiapa yang menjaga penglihatan kerana takutkan Allah s.w.t. maka Allah s.w.t. akan mengurniakannya cahaya keimanan yang dapat dirasakan kemanisan dan kelazatan di dalam hatinya.”

Pada zaman Nabi s.a.w. terdapat dua orang perempuan yang berpuasa. Mereka mengalami kelaparan yang teramat sangat sehingga tidak tertanggung lagi, mereka hampir-hampir mati.
Para sahabat r.anhum telah bertanyakan Nabi s.a.w tentang mereka lalu Nabi telah hantarkan kepada mereka satu bekas dan telah perintahkan mereka supaya muntah kedalam bekas itu. Mereka berdua pun muntah lalu keluar ketulan-ketulan daging dan darah yang dimakan mentah-mentah. Orang ramai kehairanan.

Nabi s.a.w. telah bersabda, “ Kedua-dua perempuan itu telah mulakan puasa dengan rezki yang halal tetapi kemudianya mereka telah mengumpat orang ramai, sama sepeti mereka makan makanan yang haram.”

Pada suatu ketika, setelah melihat beberapa orang sahabat, Baginda s.a.w. telah bersabda “ Cungkillah gigi-gigmu.” Mereka berkata, Hari ini kami tidak makan sedikit dagingpun.” Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Daging saudaramu si polan terselit di celah-celah gigi kamu.”

Nabi s.a.w. telah ditanya oleh seseorang, “ Apakah itu mengumpat?” Baginda bersabda, “ Bercakap tentang sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang di belakangnya.” Penyoal tadi bertanya lagi, “ Bagaimana kalau perkara yang diperkatakan itu sememangnya ada padanya?” Baginda s.a.w. menjawab, “ itulah mengumpat, kalau ia sememangnya tidak ada maka itu adalah fitnah.”

Pada suatu ketika Nabi s.a.w. telah lalu berdekatan dua buah kubur. Baginda s.a.w. telah bersabda, “ Mereka berdua sedang mengelami azab kubur. Seorang daripadanya kerana mengumpat dan seorang lagi kerana tidak berjaga-jaga ketika kencing.”

Satu hadith Nabi s.a.w. menyatakan, “ Riba mempunyai lebih tujuh puluh cabang. Yang paling rendah dan ringan ialah sama dengan dosa berzina dengan ibu sendiri. Satu dirham riba adalah lebih dahsyat daripada berzina tiga puluh lima kali. Sementara riba yang paling buruk dan keji ialah mencemari maruah seorang Islam.”

Semoga Allah s.w.t. memberi kita kekuatan untuk menghindari sifat suka mengumpat dan berjaga-jaga ketika kencing serta menjauhkan diri daripada riba. Allah s.w.t. jualah yang berkuasa menjauhkan kita dari penyakit- penyakit rohani dan sifat-sifat yang tidak baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan